Pemandu bas persiaran disyaki mengantuk punca kemalangan - Utusan Malaysia

Pemandu bas persiaran disyaki mengantuk punca kemalangan

KEADAAN bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 375.4, LPT2 selepas Hentian Rawat dan Rehat Bukit Besi, Dungun, Terengganu, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Polis tidak menolak pemandu bas persiaran yang mengorbankan dua nyawa dalam kemalangan di Kilometer 375.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rawat dan Rehat Bukit Besi, di sini, semalam,  memandu dalam keadaan mengantuk.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai mengantuk menyebabkan dia gagal mengawal bas yang dipandunya sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terbalik.

“Kita telah menahan pemandu bas persiaran itu untuk membantu siasatan selepas dia selesai dirawat di Hospital Hulu Terengganu, semalam.

“Kita juga sedang menyiasat pelbagai aspek termasuk kesan tayar di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Baharudin berkata, hasil ujian urin dan alkohol lelaki yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu pula didapati negatif.

“Kita sedang menunggu hasil ujian darah lelaki itu dan kita akan turut melihat sama ada bas tersebut mempunyai masalah lain,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi semalam, bas yang dinaiki 32 individu termasuk pemandu dan pemandu pelancong itu sedang dalam perjalanan dari Tampin ke Jeti Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu untuk bercuti di Pulau Redang.

Insiden itu menyebabkan seorang pengurus kilang Honda, Tan Poh Hwa, 42, maut di lokasi kejadian manakala abang iparnya, Choo Chia Tian, 44, yang merupakan peniaga kedai buku meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun juga dilaporkan cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Hulu Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya