PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia mempertimbangkan polisi diutamakan produk Malaysia sebagai bentuk sekatan bukan tarif terhadap komoditi luar yang bebas dijual di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha tersebut antara cara kerajaan membantu pemain industri komoditi pulih daripada tekanan kuat oleh pihak luar.
“Mereka ada membangkitkan isu kalau kita eksport ke negara luar, banyak sekatan bukan tarif yang dikenakan tetapi sebaliknya jika produk asing pula mereka bebas masuk ke sini.
“Justeru, mereka memohon agar kita memberi penekanan balik kepada ‘Buy Malaysian First’ (diutamakan beli barangan Malaysia),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Sesi Dialog Dengan Industri Agrikomoditi di sini hari ini.
Dasar Buy Malaysia First mula diperkenalkan kerajaan pada 1984 sebagai tindak balas kepada kerajaan Britain ketika itu yang cuba mengenakan tekanan kepada negara ini.
Polisi ini pernah dilancarkan semula pada 2020 bagi menolong peniaga tempatan yang terjejas amat teruk susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pelaksanaan kembali dasar tersebut merupakan salah satu daripada 55 cadangan selain isu diutarakan pemain industri dalam dialog sehari itu.
“Kerajaan juga diminta membantu pihak terlibat agar produk dieksport terutama ke negara Kesatuan Eropah (EU) dapat memenuhi standard ketat ditetapkan oleh blok itu,” katanya.
Segala input disuarakan mereka ujar beliau, turut digunakan pihak kementeriannya bagi penyediaan Belanjawan 2024 dan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Walau bagaimanapun, ada beberapa isu dan syor yang tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat disebabkan kekangan tertentu namun akan diperhalusi lebih terperinci. – UTUSAN