SERDANG : Orang ramai diminta mengambil peluang menyaksikan sendiri hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan mengunjungi Showcase Teknologi MARDI 2023 yang akan berlangsung selama selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Ogos ini di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Selangor.
Showcase berkenaan akan mempamerkan lebih 100 teknologi dan inovasi baharu bidang pertanian hasil penyelidikan agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu.
Pameran teknologi MARDI itu dibuka kepada orang ramai termasuk petani, penternak, syarikat, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) , belia, usahawan dan bakal usahawan serta agroprenuer muda.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena pameran berkenaan iaitu antaranya termasuklah pameran, demonstrasi teknologi, pelancaran teknologi, seminar, kursus ringkas dan jualan
Pameran akan melibatkan enam kluster iaitu tanaman (buah-buahan dan sayur-sayuran, padi, tanaman Industri, ternakan, teknologi makanan, mekanisasi pemindahan teknologi (gunaan awam dan komersial serta pelancongan tani.
Program tersebut dijangka dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Kumpulan pengunjung yang disasarkan adalah orang awam, usahawan dan agropreneur muda-syarikat korporat , industri kecil dan sederhana (IKS) petani, agensi kementerian , dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK ) serta pelajar .
Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, MARDI sebagai peneraju inovasi agromakanan, berjaya menjana lebih dari 100 teknologi baharu setahun yang merangkumi pelbagai bidang bidang yang telah memberi sumbangan yang sangat signifikan kepada pembangunan industri agromakanan negara.
“Mengambil maklum akan kepentingan semua teknologi-teknologi ini dapat diguna pakai oleh pemain-pemain industri, maka pencapaian inovasi dan teknologi yang telah dijana serta sedia diguna pakai akan dipamerkan melalui program pameran tersebut., ujarnya kepada Utusan Online
Sehubungan itu, semua warga petani, penternak dan pemain-pemain industri agromakanan dijemput hadir beramai-ramai bagi melihat sendiri segala bentuk teknologi yang boleh diguna pakai bagi meningkatkan kemajuan sektor agromakanan negara selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan bagi tujuan keterjaminan makanan dan kesejahteraan masyarakat.-utusan