ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah bersedia dengan pelan kontigensi selama lapan hari bermula hari ini bagi meminimumkan risiko gangguan bekalan air sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23).
Syarikat itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, penganjuran LIMA23 dari 23 hingga 27 Mei ini dijangka meningkatkan permintaan air terawat di daerah itu kepada 25 peratus atau 13 juta liter sehari (mld).
“Pelan kontigensi ini juga sebagai persediaan awal dalam menghadapinya melalui tindakan jangka masa segera dan tindakan jangka masa pendek yang telah digariskan. Antara kawasan diberi perhatian adalah Pekan Kuah, Pantai Cenang, Pantai Tengah, Datai, Pemandangan Indah, Kampung Kilim dan Kampung Huma.
“Menjelang pelaksanaan pelan kontigensi tersebut, SADA sebelum ini telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berterusan secara bersepadu melibatkan aset dan infrastruktur air seperti pemantauan paras kolam, melakukan servis injap kawalan tekanan dan memastikan rumah-rumah pam berada dalam keadaan baik.
“Daripada aspek logistik dan aset, sebanyak 16 lori tangki disediakan bagi mempercepat masa tindakan bantuan bekalan air ke kawasan terjejas. Selain itu, 91 tangki statik telah ditempatkan di kawasan-kawasan tinggi dan di penghujung sistem agihan serta beberapa lokasi yang telah dikenal pasti sering berlaku masalah tekanan air rendah,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, melalui tindakan jangka masa pendek, beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan antaranya pemasangan ‘inline booster pump’ Empangan Malut, pemasangan kabel serta naik taraf bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Kemboja.
Selain itu, langkah-langkah lain yang turut diambil adalah pemasangan ‘sunction tank’ di Rumah Pam Lanai Teluk Baru, pembaikan paip dasar laut serta kegiatan mengesan kebocoran melalui kaedah kawalan kebocoran aktif (ALC).
“Tujuan utama kerja-kerja ini dilakukan adalah untuk memastikan LRA beroperasi pada tahap optimum, stabil serta meningkatkan paras kapasiti tangki. Langkah itu juga untuk meningkatkan kapasiti air mentah bagi diproses selain melancarkan sistem agihan bekalan air.
“Selain itu SADA pada masa ini turut menangguhkan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan yang boleh mengganggu operasi LRA,” katanya.
Sekiranya berlaku gangguan bekalan air katanya, para pengguna boleh menghubungi Pusat Informasi SADA (SIC) melalui talian 1300-88-0017 yang beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 12 malam setiap hari.
“SADA juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan Wilayah Langkawi bermula pada hari ini hingga 28 Mei depan, yang beroperasi pada pukul 8 pagi hingga 10 malam di talian 04-9610546,” katanya. –UTUSAN