Pelaksanaan parkir tanpa tunai di Arked Niaga Padang Besar akan ditambah baik - Utusan Malaysia

Pelaksanaan parkir tanpa tunai di Arked Niaga Padang Besar akan ditambah baik

IZIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Beberapa penambahbaikan mungkin akan dilakukan dalam pelaksanaan kaedah bayaran parkir tanpa tunai di Arked Niaga Padang Besar yang mendapat rungutan peniaga dan penduduk di kawasan berkenaan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim berkata, pihaknya telah menyuarakan agar beberapa penambahbaikan dapat dilakukan oleh pihak operator parkir berkenaan bagi memastikan isu berhubung pelaksanaan itu dapat diatasi dalam situasi menang-menang.

Beliau berkata, buat masa ini, perbincangan mengenai penambahbaikan pelaksanaan kaedah bayaran itu masih diteruskan bersama pihak operator bagi memastikan tiada sebarang isu berbangkit.

“Selepas perbincangan itu nanti mungkin ada beberapa permintaan penduduk di sini boleh diterima dan ditambah baik berdasarkan pertimbangan pihak terlibat,” katanya.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan mengenai gesaan peniaga dan penduduk di Arked Niaga Padang Besar yang meminta agar kaedah bayaran parkir tanpa tunai itu dikaji semula memandangkan tiada perbincangan dilakukan sebelum pelaksanaannya pada 1 Mei lalu.

Malah, ada diantara peniaga juga mendakwa hanya menerima notis tiga hari sebelum pelaksanaan kaedah baharu itu.

Dalam pada itu, Izizam berkata, beliau sememangnya mengakui terdapat sedikit kelemahan di operator parkir berkenaan dalam menyampaikan hebahan maklumat berhubung pelaksanaan itu kepada peniaga dan penduduk terlibat.

Bagaimanapun, beliau berkata, penduduk dan peniaga juga tidak perlu gusar memandangkan pelaksanaan kaedah baharu itu tidak terlalu membebankan malah mereka juga hanya dikehendaki membuat bayaran pas bulanan dengan kadar minima.

“Ada juga peniaga yang cadangkan kaedah itu dibuat hanya dari pukul 9 pagi-6 petang, namun perkara ini tidak menjadi isu kerana mereka telah melanggan pas bulanan dengan kadar yang tidak membebankan.

“Malah dari sudut lain, mungkin kita boleh tambah baik pelaksanaan kaedah ini dengan hanya mengenakan caj bayaran masuk buat kenderaan ketiga penduduk di sini dan percuma bagi kenderaan pertama serta kedua mereka.

“Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan penduduk terlibat,” katanya.

Tambah Izizam, pelaksanaan parkir tanpa tunai itu sememangnya amat baik dan selari dengan hasrat ‘Perlis Go Digital’ yang diusahakan kerajaan negeri namun terdapat beberapa ruang penambahbaikan perlu dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak.

“Kerajaan negeri memang berhasrat untuk tambah baik semua kemudahan di Padang Besar namun penduduk juga perlu terbuka untuk menerima pembaharuan yang ingin dibawa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya