SABAK BERNAM: Perjalanan dua lelaki masing-masing pegawai dan anggota tentera ke Port Dickson, Negeri Sembilan bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di jejambat Kilometer 48 Jalan Teluk Intan-Klang, Sungai Besar di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 28 dan 49 tahun yang menaiki Proton Persona berkenaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa berpangkat Leftenan Kolonel dan Lans Koperal yang berkhidmat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah itu datang dari Lumut, Perak.
Katanya, ketika kejadian sebuah lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 35 tahun dipercayai baru selesai menjalankan kerja pembersihan jalan di kawasan tersebut.
“Pemandu itu kemudian memandu dalam keadaan mengundur untuk mengutip kon selepas kerja pembersihan. Pada waktu itu, kereta dinaiki dua mangsa dari arah Sabak Bernam ke Klang gagal mengelak lalu melanggar belakang lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi petang tadi.
Jelas Agus Salim, kemalangan itu menyebabkan mangsa masing-masing pemandu dan penumpang belakang maut manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital berdekatan bagi proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Tambah beliau, pemeriksaan pihaknya mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. – UTUSAN