PUTRAJAYA: Penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang ditahan berkait kes pecah amanah berjumlah RM24.8 juta Sabtu lalu dipercayai berselindung di sebalik identiti sembilan individu dalam agensi itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyifatkan ia satu perbuatan licik oleh suspek lebih-lebih lagi dilakukan untuk satu tempoh yang lama iaitu sejak lapan tahun lalu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tindakan tegas sudah diambil, malah beliau tidak berkompromi kerana perkara itu membabitkan wang rakyat.
“Saya sudah mengambil tindakan tegas dan saya tidak akan pernah berkompromi kerana ini adalah wang cukai rakyat sebaliknya digunakan untuk suspek bagi kepentingan peribadi. Saya dimaklumkan, tangkapan sudah dibuat, malah saya juga mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mengambil tindakan perundangan dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, suspek akan dikenakan tindakan berdasarkan tatakelola sedia ada oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuklah digantung tugas.
Sabtu lalu, media melaporkan seorang penolong akauntan KESEDAR ditahan selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pukul 12.21 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang susulan laporan polis diterima berkait salah laku oleh kakitangan KESEDAR.
Tangkapan itu dibuat susulan kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan KESEDAR melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023. – UTUSAN