PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyiapkan kertas kerja bagi gantian aset dan jentera mereka untuk pertimbangan dan kelulusan kerajaan.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya akui pasukan keselamatan itu kini mengendalikan aset yang sudah lama dan berusia.
Beliau berkata, bukan sahaja aset marin, sebaliknya ada aset dalam PDRM yang sudah berusia 30 tahun termasuk kapal dan pesawat.
“Saya difahamkan aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) sendiri iaitu pesawat jenis Pilatus dan Caravan ada yang berusia 25 tahun dan ke atas selain teknologinya yang sudah ketinggalan.
“Kita sudah siapkan kertas kerja untuk kemukakan kepada kerajaaan bagi ganti baharu aset lama dan usang itu termasuk bot, pesawat dan juga kenderaan lain,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Kejohanan Tembak RMP Open Championship Level III di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, di sini hari ini.
Katanya, baru-baru ini, pihaknya menerima perolehan 170 buah kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan pasukan.
Hazani berkata, pihaknya merakamkan terima kasih kepada kerajaan dan percaya perolehan serta gantian aset lain akan dilakukan secara berperingkat.
“Bagaimanapun, kita faham kekangan ekonomi dihadapi kerajaan ketika ini,” katanya.
Mengulas mengenai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23), Hazani berkata, PDRM terlibat sepenuhnya dalam pameran antarabangsa itu.
Katanya, pihaknya akan tampil dengan pelbagai demonstrasi dan pertunjukan sepanjang pameran itu.
“Namun, tiada aset baharu akan dipamerkan pada pameran itu kecuali demonstrasi dan pertunjukan. Pameran ini tertangguh akibat pandemik Covid-19 lalu dan ia akan menjadi pameran terbesar,” katanya. – UTUSAN