Patut rasa malu ponteng solat Jumaat

Patut rasa malu ponteng solat Jumaat

Ustaz Mohamad Sabri Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMAAT adalah penghulu segala hari. Terdapat banyak kelebihan yang dijanjikan Allah SWT dan juga larangan tertentu agar umat Islam mengejar fadilat yang tersurat dan meninggalkan kemungkaran yang menambah dosa.

Justeru, rebutlah peluang tersebut terutamanya solat Jumaat bagi golongan lelaki yang sepatutnya merasa malu sekiranya tidak pergi ke masjid pada ketika itu.

Menurut Imam Tua Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang (Masjid Bejing), Ustaz Mohamad Sabri Ghani, Allah SWT memerintahkan setiap lelaki Muslim yang mukallaf segera ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dengan menyatakan larangan daripada melakukan sebarang jual beli atau pekerjaan ketika itu.

Ini diterangkan dalam Surah al-Jumu’ah:9 : “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Mohamad Sabri memberitahu, Imam al-Qurtubi juga telah menukilkan di dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa larangan berjual beli pada waktu itu adalah kepada mereka yang diperintahkan untuk melaksanakan kewajipan solat Jumaat termasuk pembeli yang tertakluk kepada perintah itu.

“Larangan berjual beli atau melakukan pekerjaan hanya tertakluk ketika seruan azan berkumandang bagi mendirikan solat Jumaat dan lebih dianjurkan supaya bersiap sedia lebih awal untuk hadir menunaikan solat sunat, beriktikaf dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Masjid Bejing, Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.

Menurutnya, tiada sekatan dalam Islam untuk umatnya bekerja atau melaksanakan pelbagai aktiviti pada hari Jumaat selagi mana tuntutan dipenuhi bagi lelaki mukallaf hadir solat Jumaat di masjid yang juga memiliki kelebihannya dari aspek ukhuwah, keilmuan dan ganjaran pahala di atas ketaatan kepada Yang Maha Esa.

Tambah beliau, Abu Daud meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; Solat Jumaat adalah tanggungjawab wajib atas setiap orang Islam secara berjemaah melainkan kepada empat golongan iaitu hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit.

Dalam pada itu Mohamad Sabri berkata, Jumaat adalah hari langit dan bumi dijadikan selain dinyatakan kejadian kiamat juga akan berlaku pada penghulu segala hari, malah banyak sejarah besar yang dinyatakan menerusi hadis dan sirah untuk renungan umat Islam.

Ini, katanya, termasuk kelebihan meninggal dunia pada malam dan hari Jumaat yang dianggap mulia terlepas daripada soalan ‘mungkar wanakir’ dalam kubur.

“Namun harus diingatkan kepada pelaku maksiat agar tidak melakukan kemungkaran dalam kemuliaan Jumaat kerana akan terbeban dengan banyak timbangan dosa, termasuklah yang sengaja meninggalkan solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, Jumaat adalah hari mustajab untuk berdoa bersandarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pada hari itu terdapat suatu masa yang mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).

Menurutnya, Ibnu Qayyim Al-Jauzi ada menyatakan bahawa di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih untuk berdoa iaitu saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang kukuh.

“Juga pada Jumaat diampunkan dosa selagi mana tidak melakukan dosa besar selain mengutamakan bersedekah yang mendapat ganjaran pahala besar berbanding hari lain,” katanya.

Justeru, katanya, perlu ada rasa malu terhadap Allah SWT dan malu sesama umat manusia jika ponteng solat Jumaat hanya kerana mahu bersantai bersama keluarga, tamak dengan kerja dan tidak mengendahkan seruan azan berkumandang yang mengajak bersolat untuk menuju kejayaan dan khutbah yang banyak memberi ilmu serta pedoman.

USTAZ MOHAMAD SABRI GHANI
» Umur: 43 tahun
» Latar belakang pendidikan:
Pusat Pengajian Islam, Pondok Moden, Telong, Bachok
 Universiti al-Azhar, Mesir (Pengajian Islam dan Bahasa Arab)> Pondok Pengajian Islam Permatang Sunkai (Baba Hamid)
 Pondok Baba Haji Ismail Pattani, Selatan Thailand
» Tugasan hakiki: Imam Tua Masjid Bejing, Rantau Panjang, Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya