ALOR SETAR: Pengeluaran durian di negeri ini dijangka berkurangan sehingga 30 peratus akibat cuaca panas yang melanda sejak hujung bulan lalu.
Pengarah Pertanian negeri, Ramli Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima rungutan daripada pengusaha tanaman itu di sekitar Padang Terap, Sik, Baling dan Bandar Baharu yang terjejas ekoran perubahan cuaca itu.
“Durian dijangka luruh pada hujung Jun sehingga Julai nanti, namun seperti juga tanaman lain akan terkesan akibat cuaca panas melampau ini. Durian memang tidak perlukan air banyak tetapi air perlu mencukupi.
“Kalau air tak cukup, pucuk akan mati walaupun pokok itu berusia puluhan tahun. Ikut kajian pihak kami pengeluaran durian dijangka menurun sehingga 30 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri di Pusat Latihan Pertanian di Teluk Kechai, Kuala Kedah.
Tambahnya, pengurangan tanaman itu juga disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu sejak Januari hingga Mac lepas yang menjejaskan pengeluaran pucuk dan bunga pokok durian.
“Kita jangka pada Januari hingga Mac itu kemarau tapi pada masa itu kemarau sekejap lepas itu hujan. Kemarau akan sebabkan peningkatan pengeluaran bunga tetapi hujan pula mengakibatkan pucuk tumbuh dan bunga durian gugur.
“Bagi mengatasi perkara itu Jabatan Pertanian negeri membantu para petani termasuk memastikan mereka mendapat sumber air yang mencukupi bagi tanaman masing-masing melalui kaedah air bawah tanah dan air permukaan,” katanya.
Apabila ditanya tentang harga buah durian yang diramal naik ekoran pengurangan pengeluarannya, kata Ramli, ianya dijangka terkawal dan signifikan dengan kos yang terpaksa ditanggung petani ketika ini.
Dalam perkembangan lain, menyentuh tentang lambakan buah tembikai katanya, ia dipercayai akibat pengeluaran yang berlebihan terutama selepas awal Syawal lalu.
“Lambakan berlaku kerana pengeluaran melebihi permintaan apabila mereka hanya dapat menjualnya selepas bulan puasa setelah tuaian hanya boleh dilakukan selepas hujung Ramadan.
“Tetapi dari segi harga masih terkawal kerana dijual pada harga antara RM1 hingga RM1.50 sekilogram. Kita sudah berbincang dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam urusan memasarkan buah tembikai ini ke luar negara bagi mengatasi lambakan itu,” katanya. –UTUSAN