Panas baran, dadah punca kes-kes dera terus berlaku - Utusan Malaysia

Panas baran, dadah punca kes-kes dera terus berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Panas baran, cepat marah dan emosi tidak terkawal selain berada di bawah pengaruh dadah antara punca kes penderaan kanak-kanak, dengan ibu kan­dung menjadi pelaku ter­tinggi bagi tempoh lima tahun sejak 2018 hingga tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wani­ta dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kea­daan itu berlaku akibat faktor kewa­ngan yang dihadapi suspek sebelum menjadikan kanak-kanak itu sebagai mangsa melepaskan geram.

Jelasnya, kurang ilmu hidup dan keibubapaan akibat perkahwinan serta kehamilan yang tidak dirancang menyumbang kepada perlakuan dera.

“Ada kes yang dilaporkan, pelaku belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai penjaga kanak-kanak tersebut di sam­ping menghadapi pelbagai masalah lain seperti kewangan sehingga gagal mengawal emosi dan baran.

“Antara sebab lain adalah sikap ambil mudah dalam aspek penjagaan dan keselamatan kanak-kanak tanpa menjangkakan bahaya kepada kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, sikap tidak bertanggungjawab individu terutama mereka yang membuka pusat asuhan atau menawarkan perkhidmatan asuhan tanpa pe­ngalaman membawa kepada pe­rasaan tidak sabar dengan kerenah kanak-kanak sehingga dengan mudah mengambil tindakan di luar kawalan yang me­ngancam nyawa kanak-kanak.

“Isu keselamatan kanak-kanak ini perlu ditangani dengan serius oleh pelbagai pihak.

“Ini kerana kanak-kanak me­rupakan golongan rentan yang perlu diurus dengan hemat di­sebabkan faktor kematangan fikiran mereka dan fizikal yang tidak berupaya melindungi diri daripada segala bentuk ancaman,” jelasnya.

Tambah beliau, golongan ibu bapa perlu ada persediaan dari segi ilmu keibubapaan, tanggungjawab dan tatacara penjagaan kanak-kanak dan tidak mengambil mudah isu keselamatan anak-anak.

“Begitu juga golongan penga­suh dan pusat jagaan kanak-kanak, mereka tidak seharusnya hanya mementingkan keuntu­ngan dan mencari jalan mudah dengan menawarkan perkhidmatan jagaan tapa persediaan yang sewajarnya mengenai aspek ja­gaan kanak-kanak.

“Terutamanya aspek penge­tahuan, persiapan fasiliti yang selamat dan sesuai untuk kanak dan pengasuh atau pekerja yang amanah, komited dan mempu­nyai kelayakan.

Agensi yang bertanggungjawab juga harus sentiasa memantau pengoperasian pusat-pusat asuhan agar mematuhi keperluan dan syarat yang ditetapkan,” tegasnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, sebanyak 220 kes pen­deraan kanak-kanak sampai maut terus berlaku dengan ibu kan­dung menjadi pelaku tertinggi.

Dalam tempoh tersebut, Se­langor merekodkan kes tertinggi iaitu 91 kes diikuti masing-ma­sing 23 kes di Kuala Lumpur dan Johor selain Negeri Sembilan (18 kes) manakala Perak (14 kes) dan bakinya di lain-lain negeri.

Ibu kandung penyumbang tertinggi dengan 67 kes kanak-kanak maut akibat didera ‘di tangan’ wanita yang melahirkan mangsa.

Dalam tempoh sama, sebanyak 46 kes membabitkan pelaku bapa kandung diikuti bapa tiri (sembilan kes) dan lain-lain ahli keluarga (11 kes).

Daripada 220 kes, 133 kes kematian kanak-kanak dikaitkan dengan ahli keluarga iaitu kombinasi ibu bapa kandung, ibu bapa tiri dan ahli keluarga lain mangsa.

Selain itu, sebanyak 69 kanak-kanak lagi direkodkan maut didera ketika berada di bawah pengawasan pengasuh termasuk pembantu rumah dan ahli keluarga pengasuh.

Kes tertinggi direkodkan pada tahun lalu dengan 84 kes diikuti 2020 (44 kes) ; 2019 (43 kes) ; 2018 (25 kes) dan 2021 (24 kes). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN