PADU ditubuh selaras data isi rumah rakyat Malaysia - PM

PADU ditubuh selaras data isi rumah rakyat Malaysia – PM

ANWAR Ibrahim pada sidang akhbar selepas mempengerusikan pasca mesyuarat MTEN di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membangunkan sebuah pangkalan data utama (PADU) bagi mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PADU itu akan ditubuhkan segera dan menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, jika mahu bercakap mengenai soal ekonomi digital dan hala tuju negara pada masa depan, maka kerajaan perlu mempunyai data yang lengkap.

“Hari ini kita buat keputusan agak penting iaitu menyedia dan menetapkan pembentukan PADU bagi memudahkan kerajaan menggubal dasar dan menyasarkan subsidi.

“Buat masa ini, ada jabatan-jabatan lain menyelenggara data secara berasingan, justeru PADU akan mengambil alih tugas-tugas ini supaya ada satu agensi dapat merumuskan semua data ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini hari ini.

Katanya, keperluan sistem data ini harus lebih menyeluruh dan lebih penting subsidi dan bantuan yang diperuntukkan kepada orang miskin tercapai.

Anwar berkata, PADU akan mengumpul maklumat di peringkat isi rumah yang meliputi bilangan isi rumah, rekod pendapatan, tanggungan anak mengikut peringkat pendidikan, lokasi dan bilangan kenderaan.

Menurutnya, ia juga merangkumi rekod bantuan yang diterima dari jabatan kerajaan di dalam isi rumah dan maklumat-maklumat lain yang boleh membantu menentukan pendapatan boleh belanja setiap isi rumah.

“Kewujudan PADU akan membantu kerajaan memastikan sebarang program pensasaran subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur untuk mengelakkan sebarang keciciran dalam kalangan penerima isi rumah yang layak.

“Versi PADU yang menggunakan data sebenar dijangka akan berfungsi sepenuhnya pada Januari 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya