Ombak besar landa pantai Pulau Pangkor - Utusan Malaysia

Ombak besar landa pantai Pulau Pangkor

TANGKAP layar keadaan laut bergelora dan ombak besar yang melanda pantai peranginan di Pulau Pangkor sejak empat hari lalu.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pengunjung ke Pulau Pangkor kempunan mandi laut berikutan fenomena ombak besar dan laut bergelora yang melanda di pantai pulau tersebut sejak empat hari lalu.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa memacak bendera merah iaitu larangan mandi manda di pantai yang popular di kalangan pelancong iaitu Pasir Bogak dan Teluk Nipah.

Situasi itu turut dikongsi penduduk dan pengunjung dalam media sosial dengan memuat naik video yang menunjukkan keadaan ombak besar melanda sehingga menghempas ke tebing medan selera di Teluk Nipah dan laluan kenderaan.

Difahamkan, situasi itu berlaku disebabkan pengaruh fasa peralihan Monsun Barat Daya sekarang yang mana beberapa tempat dijangka menerima tiupan angin kencang sehingga menyebabkan laut bergelora.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Muhammad Shukur Jamaludin berkata, pihaknya membuat pemantauan di kedua-dua pantai tersebut yang sering menjadi tumpuan ramai pelancong.

“Hari Sabtu (kelmarin) dan Ahad (semalam), pihak bomba membuat pemantauan dan edaran risalah keselamatan aktiviti di air kepada pengunjung dan orang ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, keadaan adalah terkawal dan pihaknya tidak menerima laporan dan aduan sebarang kes kecemasan di laut dalam tempoh tersebut.

Difahamkan, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengeluarkan arahan pemberhentian semua aktiviti dan rekreasi di laut sebagai langkah keselamatan sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama untuk perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selat Melaka Utara.

Jangkaan angin kencang barat laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter berlaku di kawasan perairan tersebut dan berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN