PETALING JAYA: Penyanyi Jay Jay, 65, berpendapat penyanyi kena bertanggungjawab dan berusaha apabila diberi kepercayaan menyanyikan lagu orang lain.
Menurut pemilik nama Mohd. Fauzi Darus itu, kerana itu, dia melakukan ulang kaji sebelum membawakan lagu Joget Angan Tak Sudah dan Nazam Lebaran yang dinyanyikan bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ernie Zakri pada Konsert Satu Suara Vol. 3, baru-baru ini.
“Persembahan solo, bawa lagu sendiri jauh lebih mudah berbanding tampil secara duo atau trio.
“Jadi kita kena buat ulang kaji dan ingat bahagian masing-masing. Nak nyanyi lagu orang perlukan usaha berganda,” katanya.
Lima dekad berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, Jay Jay tidak pernah sekalipun membuat persembahan ala kadar walaupun pada sesi latihan.
“Siti dan Ernie berpesan supaya saya tidak all out semasa latihan sebab takut hilang suara.
“Tapi saya sudah biasa buat persembahan bersungguh-sungguh walaupun ketika latihan,” tambahnya.
Dalam pada itu, penyanyi bertaraf legenda itu menyifatkan tawaran yang diberikan Siti untuk membuat persembahan dalam konsert tersebut sebagai pencapaian terbesar dalam hidupnya.
“Sudah 46 tahun saya berda dalam industri. Saya berani cakap inilah pencapaian saya yang paling besar.
“Macam tak percaya waktu Siti mula-mula hubungi saya. Terima kasih kepada beliau kerana memberikan kesempatan ini kepada saya,” tambahnya.
Konsert Satu Suara Volume Tiga yang berlangsung Sabtu lalu dihadiri kira-kira 4,000 penonton.
Konsert yang diusahakan Yayasan Nurjiwa itu dilaksanakan bagi mengumpul dana untuk membiayai pendidikan anak-anak yang belajar di sekolah yang dibina yayasan itu di Gaza, Palestin.