PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim bakal menerajui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) apabila dilantik sebagai Pengerusi yang baharu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Norliza mempunyai pengalaman yang luas iaitu lebih tiga dekad dalam pelbagai bidang dan sektor.
“Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan serta swasta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Norliza yang sebelum ini, Pengerusi di UDA Holdings Berhad (UDA) memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan), Sarjana Muda Perancangan Kewangan Lanjutan dan Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan).
Mohamad Khaled berkata, beliau berharap dengan lantikan Norliza ke PTPTN dapat terus menggerakkan badan tersebut dalam memainkan peranannya demi pendidikan tinggi.
“Semoga dengan lantikan ini, beliau dapat menerajui PTPTN dalam memperkasa fungsi dan peranannya bagi mengurus pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pendidikan tinggi dengan strategik dan inovatif,” katanya. –utusan