MELAKA: Nisbah terkini keanggotaan bomba iaitu satu anggota bagi 2,238 rakyat negara ini sama sekali tidak seimbang, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, dengan jumlah keanggotaan terkini melebihi 15,000 orang berbanding 33.57 juta populasi Malaysia, kerajaan akan meneliti secara komprehensif bagi cadangan penyusunan semula organisasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara berfasa.
Jelasnya, penyusunan itu melibatkan naik taraf perjawatan dan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong serta mempertimbangkan untuk penambahan jumlah keanggotaan.
“Ini termasuklah elemen kebajikan seperti kajian semula skim bomba termasuk gaji dan elaun yang berkaitan. Saya yakin JBPM dan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti kertas cadangan ini sebelum kita angkat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan dan kelulusan.
“Sebagai sebuah organisasi penyelamatan dan kecemasan utama negara, jabatan ini sentiasa bersedia dalam menangani sebarang situasi kecemasan baik kebakaran, kemalangan, khidmat khas mahupun sebarang bentuk bencana.
“Dalam kita mendepani isu dan cabaran masa kini, kejayaan sesebuah organisasi tidak akan dapat dicapai dengan mudah sekiranya nilai bersama atau shared values tidak dihayati oleh warganya,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Banda Hilir di sini, hari ini.

Sambutan yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Tema sambutan tahun ini adalah ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’ dipilih sebagai komitmen serta dedikasi JBPM untuk sentiasa menjadi benteng dan tiang utama negara.
Tambah Kor Ming, melalui Belanjawan 2023, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM206.64 juta bagi memperkasakan perkhidmatan bomba termasuklah RM46.51 juta untuk perolehan peralatan dan kelengkapan meningkatkan kecekapan serta tahap kesiapsiagaan.
“Jumlah peruntukan ini merupakan peningkatan hampir lima kali ganda berbanding 2022. Sukacita saya nyatakan RM18.2 juta peruntukan baharu telah diluluskan untuk perolehan kelengkapan kebombaan dan 12 ekor anjing pengesan.
“RM129.93 juta bagi pembinaan bangunan JBPM baharu di seluruh Malaysia dan menaik taraf bilik siap siaga di balai bomba sedia ada termasuk penyelenggaraan bangunan dan jentera bomba,” jelasnya. – UTUSAN