GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan projek penambakan Penang South Island (PSI) kerana projek itu merupakan satu pembaziran serta mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, projek PSI itu akan memberikan kesan buruk kepada alam sekitar, keterjaminan makanan, iklim, komuniti nelayan, dan demografi Pulau Pinang.
Malah, katanya, pojek PSI itu juga bercanggah dengan rangka kerja dasar Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang mana salah satu tonggaknya adalah menggalakkan pembangunan mapan.
”Kami merayu kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan untuk tidak menyokong projek PSI dengan memberi dana dan jaminan bagi projek tersebut.
“Anggaran kos bagi penambakan ialah RM16 bilion dan ini boleh digunakan dengan lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin dan terpinggir, menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik serta meningkatkan lalu lintas,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat CAP, di sini hari ini yang turut dihadiri aktivis Penang Forum, Khoo Salma.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumuman tambakan laut bagi projek PSI telah mendapat kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurut Mohideen, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini memberi alasan projek penambakan mega itu perlu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) memandangkan Kerajaan Persekutuan ketika itu yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) tidak menyokongnya.
Bagaimanapun, ujar beliau, keadaan kini telah berubah yang mana Kerajaan Perpaduan bersedia untuk menyediakan dana yang diperlukan bagi membiayai sistem pengangkutan yang sedia ada untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.
”Maka, kami ingin tahu mengapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang begitu bertegas untuk meneruskan projek penambakan ini walaupun kesan ekologi dan sosialnya yang sangat buruk,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan negeri kini cuba mewajarkan projek PSI dengan mendakwa Pulau Pinang memerlukan lebih banyak tanah untuk pembangunan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Tegasnya, dakwaan itu tidak berasas dan bercanggah dengan realiti di lapangan, malah Ketua Menteri sendiri baru-baru ini mengakui lebih 12,000 hektar tanah di Seberang Perai boleh digunakan untuk pembangunan.
”Selain itu, beberapa kawasan perindustrian di Pulau Pinang kurang digunakan, kerajaan negeri sepatutnya memberi tumpuan untuk menarik pelaburan di kawasan itu, bukannya mencurahkan wang bagi projek PSI ini,” katanya. – UTUSAN