KUALA LUMPUR : Selepas empat tahun beroperasi, Restoran Nasi Kukus Tonggek (NKT) kini mencipta sejarah baharu apabila berjaya meluaskan rangkaian restoran di Bukit Bintang sekali gus menjadi anak Melayu pertama yang membuka restoran nasi kukus di lokasi tumpuan orang ramai.
Usaha itu diperkukuhkan lagi dengan pelantikan selebriti, Jaafar Onn, sebagai duta kepada jenama tersebut yang kini semakin mendapat tempat di hati penggemar makanan tempatan.
Malah, selaras dengan slogan Nasi Kukus Tonggek, iaitu Make Nasi Kukus Great Again, pengarah Nasi Kukus Tonggek Group Sdn Bhd, Muhammad Nur Aiman Basuni turut memasang impian untuk melebarkan sayap perniagaan ke negara seberang.
“Semua ada impian untuk meluaskan pasaran ke luar negara. Jika ada peluang itu, kita tidak menolak.
“Hari ini, impian untuk membuka cawangan Nasi Kukus Tonggek yang betul-betul berada di lokasi tumpuan orang ramai termasuk pelancong luar negara, iaitu di Bukit Bintang juga tercapai dengan bantuan Papa Jaafar Onn sejak setahun yang lalu,”katanya.
Selain itu, kata Muhammad Nur Aiman, menerusi usahasama yang terjalin dengan selebriti veteran tersebut, Nasi Kukus Tonggek kini telah meraih jumlah pengikut seramai 139,000 di media sosial.
Sementara itu, Papa Jaafar berkata, dia sudi membantu pasangan anak muda itu berniaga di platform media sosial walaupun sudah bergelar usia emas.
Baginya yang berpengalaman dalam seni masakan selain sering melancong ke luar negara, Jaafar mengakui makanan Malaysia mempunyai rasa dan keunikan tersendiri kerana sentiasa menerima pandangan baik daripada orang luar.
“Kita ada cara kita menjual. Kita tolong Melayu sama Melayu tapi ikut saluran betul. Saya juga ingin bantu anak Melayu terus berjaya. Bukan wang ringgit yang saya kejar tapi saya ingin menyumbang sesuatu kepada orang ramai,” katanya.
Jaafar yang kini aktif mempromosikan restoran Nasi Kukus Tonggek di platform TikTok tidak pernah mengambil pusing dengan segala kecaman yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya tidak kekok untuk aktif dan buat ‘live’ di media sosial. Walaupun orang cakap macam-macam, saya terima seadanya.
“Kalau ada orang kata jangan buat ‘live’ kerana usia sudah lanjut, saya tidak peduli. Apa yang saya buat adalah kerja saya.
“Kalau ada orang kecam sekalipun, bagi saya, hanya satu peratus sahaja. Ada juga netizen suruh saya berehat sahaja. Namun, dalam hidup ini, ada masa untuk kita berehat dan mencari duit.Kalau sentiasa berehat, siapa pula mahu beri kita duit?” katanya.