Nak tembus pasaran AS? Jangan berhenti buat muzik -Yuna - Utusan Malaysia

Nak tembus pasaran AS? Jangan berhenti buat muzik -Yuna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI, Yuna, baru berusia 23 tahun ketika menyuarakan hasrat kepada sebuah syarikat rakaman tempatan untuk menembusi pasaran muzik Amerika Syarikat (AS).

Namun impiannya dipandang rendah, dianggap tidak ada sesiapa dari AS yang akan mendengar muziknya.

Kini, sudah sedekad pemilik nama penuh Yunalis Mat Zara’ai, 36, membina nama di negara Uncle Sam menutup mulut individu yang pernah ragu dengan bakatnya.

Dalam tempoh 10 tahun, gadis asal Alor Setar, Kedah itu meraih banyak perhatian selebriti antarabangsa seperti Billie Eilish, Usher, Pharrarel Williams, Incubus, Rihanna, Bella Hadid, Epik High dan ramai lagi.

Perjalanan Yuna tidak mudah. Dia menyedari ramai artis dan pemuzik tanah air yang sangat berbakat dan berhasrat menembusi pasaran AS sama seperti dirinya dulu.

Yuna sempat mendedahkan strateginya kepada Utusan Malaysia untuk dijadikan rujukan kepada generasi muda yang mempunyai cita-cita serupa. Bagi Yuna, langkah pertama perlu dimulakan dari Malaysia.

“Mulakan dengan aktif bermain dan menghasilkan muzik di Malaysia. Teruskan dan jangan berhenti buat muzik.

“Cari kelompok peminat yang kuat. Mereka akan menyokong kerja seni yang kita lakukan. Setiap mesej yang cuba kita bawakan di dalam lagu akan sampai kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bukan itu sahaja, Yuna juga mengingatkan untuk berpijak di bumi nyata kerana perjuangan menjadi artis di AS tidak senang. Yuna sendiri memulakan karier muziknya dalam keadaan susah.

“Jika kamu berhasrat untuk membina nama di AS, kamu perlu tahu ia sukar. Jadi kamu memerlukan kesabaran, kerja keras dan keberanian.

“Sebelum saya buat keputusan besar untuk terbang ke sana, saya hantar banyak e-mel kepada individu atau mana-mana penganjur bertanya jika saya ada peluang untuk buat persembahan.

“Kemudian saya kumpul duit. Pada mulanya saya juga buat persembahan di tempat yang kecil seperti kafe atau hotel. Untuk jimat, saya tumpang rumah mana-mana pelajar Malaysia yang berada di sana.

“Saya bertuah kerana ketika saya buat persembahan, ada satu label pengurusan yang berminat nak bantu saya,” ulasnya.

Yuna turut berkongsi pengalaman dirinya memperjuangkan muzik di AS bersendirian tanpa didanai mana-mana syarikat atau mendapat bantuan kerajaan.

Penyanyi Forevermore itu berpendapat, laluan mungkin akan lebih mudah buat pemuzik dan artis di Malaysia mencipta nama di luar negara sekiranya kerajaan mahu mengambil peranan.

“Saya banyak belajar sepanjang di Los Angeles terutama ketika di dalam studio. Jika kita boleh buat satu program atau kursus khas buat pemuzik muda yang sangat serius untuk menghasilkan muzik, ia akan sangat membantu.

“Kita adakan sebuah kolaborasi dan sesi studio bersama-sama pemuzik kita dan penerbit di sana. Kita bayarlah studio itu. Dari situ kita tengok apa yang boleh dihasilkan oleh pemuzik kita hasil kolaborasi di sana.

“Sesi ini akan memperkaya pengalaman dan membuka idea muzik pemuzik kita. Saya percaya kita ada ramai anak muda yang sangat berbakat, cuma mereka tidak memiliki peluang untuk belajar lebih dalam,” tambahnya.

Untuk info, album Yuna bertajuk Chapters pernah disenaraikan sebagai 10 album R&B Terbaik oleh pengkritik Billboard, Gail Mitchell. 

Selain itu, Yuna pernah disenarai pendek untuk pencalonan Anugerah Oscar bagi lagu asal terbaik pada 2016 menerusi lagu Shine Your Way.

Terbaru, Yuna mendapat pengiktirafan Recording Industry Association of America (RIAA) untuk lagu Crush bersama penyanyi Usher.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya