KUALA TERENGGANU: Sebahagian kecil murid sekolah di Terengganu memakai pelitup muka ketika hadir pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan bermula semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah sekitar bandar raya ini juga mendapati kebanyakan mereka membawa bekal air mineral berikutan cuaca panas ketika ini.
Seorang kakitangan awam, Azlina Abdullah, 39, berkata, dia tidak ‘mewajibkan’ anaknya memakai pelitup muka untuk ke sekolah kerana situasi Covid-19 di Terengganu ketika ini tidak begitu membimbangkan seperti di negeri-negeri lain.
“Lagipun, sejak dulu lagi kebanyakan murid yang bergejala memang tidak hadir ke sekolah dan senarai nama mereka sentiasa dikemas kini melalui WhatsApp kelas.
“Namun, saya tetap membekalkan pelitup muka kepada anak untuk disimpan di dalam beg agar mudah dipakai sekiranya memerlukan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19 selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula berkata, murid sekolah terutama yang bergejala Covid-19 digalakkan memakai pelitup muka ketika pembukaan semula sesi persekolahan ini.
Seorang lagi kakitangan swasta, Mohamad Adam Hazim, 45, pula berkata, dia tetap meminta dua anaknya untuk memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga mengelak penyebaran Covid-19.
“Maklumlah, selepas musim perayaan yang panjang, pergerakan manusia dari seluruh negara tanpa kita mengetahui status kesihatan mereka, saya rasa tak salah untuk menyuruh anak memakai pelitup muka meskipun tak ramai yang berbuat demikian,” katanya.
Selain itu, Mohd. Hanek Hamzah, 38, berkata, ibu bapa lega apabila murid dibenarkan memakai pakaian sukan berikutan cuaca panas yang melanda negara pada masa ini
Menurutnya, pemakaian baju uniform seperti biasa yang agak tebal dan berlapis-lapis tidak begitu sesuai dengan cuaca panas ketika ini.
“Saya gembira dengan pengurusan sekolah yang lebih bertolak ansur dan menyesuaikan perubahan pemakaian agar semua murid berasa lebih selesa sepanjang proses pembelajaran dijalankan,” katanya. – UTUSAN