Murid, guru dibenar pakai baju sukan - KPM

Murid, guru dibenar pakai baju sukan – KPM

KPM membenarkan murid, guru dan anggota pelaksana di sekolah memakai pakaian atau baju sukan yang sopan susulan cuaca panas ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan murid, guru dan anggota pelaksana di sekolah memakai pakaian atau baju sukan yang sopan susulan cuaca panas ketika ini.

Ketetapan baharu itu dikeluarkan menerusi surat edaran dan makluman ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Norisah Suhaili berkuat kuasa serta merta hari ini.

Surat edaran bertajuk ‘Kebenaran Khas Kepada Murid, Guru dan Anggota Pelaksana Memakai Pakaian Sukan Semasa Cuaca Panas’ itu turut diedarkan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri.

Norisah berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa cuaca panas dan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.

Menurutnya, kebenaran khas ini tidak membebankan murid dan ibu bapa kerana murid mempunyai pakaian atau baju sukan masing-masing.

“KPM sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan yang melanda negara.

“Fenomena ini merupakan keragaman iklim (climax viability) yang berlaku secara tidak tetap (irregular).

“Keadaan cuaca panas yang berlaku boleh mencetuskan gelombang haba (heatwave) yang memudaratkan kesihatan seperti hipertemia atau strok haba dan hidrasi,” katanya.

Katanya, pengetua dan guru besar diingatkan supaya sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa supaya tindakan dapat diambil dengan kadar segera bagi menjamin kesihatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana.

Sebelum ini, KPM menerusi surat edaran berasingan memaklumkan, pentadbir sekolah dibenar menutup sekolah jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

Ketetapan itu termaktub dalam garis panduan ditetapkan KPM susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini.

Selain itu, semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya