PETALING JAYA: Persatuan Profesional Golf Senior Malaysia (MSPGA) bakal menganjurkan satu kejohanan tertutup di Kelab Golf Impian Kajang (IGCC) pada 8 Jun depan.
Kejohanan tertutup itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM30,000 sumbangan Penasihat Kehormat, John Seah Chen Cher dan bakal disertai oleh hanya 30 ahli persatuan itu sahaja.
Setiausaha MSPGA yang juga Pengarah Kejohanan, Amir Zainal berkata, kejohanan itu diadakan sebagai menghargai ahli-ahli yang setia dan memberi kerjasama penuh kepada persatuan sehingga kini.
Katanya, idea tersebut juga turut dipersetujui oleh John Seah Chen Cher dan Presiden MSPGA, Bakhtiar Mohd. Amin.
Menurutnya, ramai pemain profesional senior lain yang ingin menyertainya tetapi pihaknya menolak kerana mahu memberi keutamaan kepada ahli-ahli persatuan yang menyokong dari awal hingga sekarang.
“Kesemua pemain bakal memenangi hadiah wang tunai. Paling bawah sekali pun akan dapat RM600. Pada kejohanan MSPGA sebelum ini pemain paling bawah hanya dapat RM80 lebih saja.
“Jadi, mana-mana pemain profesional senior yang datang dari Kedah, Kelantan, Johor misalnya… bila dapat RM600 rasa berbaloilah.
“Apa pun kejohanan tertutup ini sebenarnya lebih kepada menghargai ahli-ahli persatuan yang memberi sokongan sejak awal penubuhan MSPGA hingga sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di IGCC, Selangor, semalam.
Menurut Amir lagi, selepas kejohanan tertutup itu, pihaknya merancang untuk mengadakan kejohanan jelajah MSPGA bagi mengaktifkan kembali persatuan itu yang selama ini dilihat sepi tanpa aktiviti kejohanan.
Katanya, sebagai permulaan, pihaknya akan mengadakan kejohanan terbuka MSPGA dengan menyasarkan seramai 70 pemain pada bulan Julai dengan yuran penyertaan sebanyak RM200 pemain.
“Sudah pasti, hadiah keseluruhan wang tunai kalau tidak dikekalkan, ia akan bertambah jumlahnya. Saya yakin dan pasti akan lebih ramai pemain-pemain profesional senior akan menyertai kejohanan jelajah MSPGA nanti.
“Kita ada ramai profesional senior yang sudah berumur 50 tahun ke atas seperti Rashid Ismail dan Danny Chia. Mereka ini akan memeriahkan lagi kejohanan jelajah MSPGA nanti,” ujarnya.
Kepada pemain profesional senior yang ingin menyertai kejohanan jelajah MSPGA akan datang, mereka boleh hubungi Pro Amir (013-3012014) atau Pro Ricky (012-3721888). – UTUSAN