KLANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) menaik taraf Unit Logistik di bawah Bahagian Dasar kepada Bahagian Logistik bagi memudahkan penyelesaian isu dalam sektor tersebut secara berkesan.
Kewujudan bahagian baharu itu signifikan untuk mewujudkan sistem yang efektif bagi menyokong perkembangan ekonomi Malaysia sebagai sebuah negara dagang.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun proses tersebut akan mengambil masa sehingga peroleh kelulusan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bagi mewujudkan perjawatan baharu.
“Bahagian merupakan satu struktur penting. Di bawah mana-mana kementerian, bahagian adalah tunjuang kepada kementerian tersebut, umpamanya MOT tiga bahagian utamanya adalah Darat, Udara dan Maritim yang merangkumi sektor pengangkutan darat, udara dan air.
“Setakat ini Ketua Setiausaha MOT (Datuk Jana Santhiran Muniayan) mengangkat cadangan itu kepada KPPA (baru-baru ini) dan kita mendapat makluman positif. Kertas tersebut akan diangkat untuk pertimbangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Makan Malam Persatuan Penghantaran dan Logistik Selangor (SFFLA), malam tadi.
Jelas beliau, sektor tersebut merangkumi pelbagai bidang termasuklah penghantaran, kenderaan berat dan sebagainya, justeru isu-isu berkaitan yang berlanjutan sejak beberapa tahun sebelum ini diuruskan melalui Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLT).
Melalui pelan tindakan itu pelbagai isu dibincangkan merangkumi pemain-pemain industri dan wakil persatuan, oleh demikian Bahagian Logistik MOT didakwa penting untuk diwujudkan.
Dalam pada itu, Anthony Loke memaklumkan pembaharuan tersebut turut menggemblengkan ribuan syarikat dan komponen-komponen lain berkaitan logistik tempatan.
“Ribuan syarikat dan banyak komponen dalam sektor itu, tetapi sudah tentu ada syarikat besar menawarkan perkhidmatan logistik berintegrasi merangkumi semua perkhidmatan, jadi itu juga satu hala tuju yang kita harapkan.
“Banyak komponen, mungkin tersebar di pelbagai agensi atau kementerian, kadang kala logistik perlukan lesen daripada kementerian lain, jadi bila ada bahagian ini maka semua isu-isu itu dapat diangkat melalui penggubalan dasar yang lebih komprehensif,” jelasnya. – UTUSAN