KEPALA BATAS: Ibu kepada peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang Jumaat lalu menitip doa orang ramai supaya anaknya itu ditemukan dalam keadaan selamat.
Menerusi hantaran di media sosial Facebooknya semalam, Che Tom Hassan memuat naik status bertulis: “Mohon semua doakan anakku selamat… Mohon jasa baik semua…. Rindu anakku..”.
Dalam pada itu, hantaran tersebut mendapat perhatian warga maya lain yang turut mendoakan supaya Muhammad Hawari ditemukan dalam keadaan selamat dan misi pencarian lelaki berkenaan dipermudahkan.
“Semoga Hawari Warie selamat pulang ke pangkuan keluarga,” tulis seorang pemilik Facebook.
Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat pagi kelmarin selepas berjaya menakluk punca Everest petang Khamis lalu.
Berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) semalam.
Pengarah di Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki dilaporkan berkata, usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan terutama di semua kem pendakian lain.
Menurutnya, pihaknya difahamkan, Muhammad Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung dan rakan pendakinya ME2023, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56.
Bagaimanapun, Awang Askandar yang juga rakan pendaki Muhammad Hawari disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter. – UTUSAN