MITRA umum tiga inisiatif bantu golongan B40 masyarakat India

MITRA umum tiga inisiatif bantu golongan B40 masyarakat India

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mengumumkan tiga inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini bagi golongan B40 masyarakat India termasuk pelanjutan tempoh permohonan geran kewangan bagi organisasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, Datuk R. Ramanan berkata, inisiatif itu memberi fokus terhadap pendidikan dan pengajian tinggi, ekonomi dan latihan kerja serta kebajikan dan kesejahteraan sosial.

Menurutnya, seramai 10,000 pelajar daripada golongan B40 disasarkan untuk menerima manfaat di bawah program subsidi bantuan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti awam dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM20 juta.

“Tujuan program ini adalah meringankan beban kewangan ibu bapa di mana anak-anak mereka sedang belajar di universiti awam membabitkan pelajar tahun kedua, ketiga dan tahun akhir pengajian ijazah yang akan menerima subsidi secara one-off bernilai RM2,000.

“Program ini dilaksanakan secara kolaboratif dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bantuan berkenaan akan mula disalurkan sebelum semester pengajian bermula.

“Permohonan akan dibuka bermula Isnin ini pada pukul 2 petang sehingga 15 September depan dan kita akan proses berdasarkan konsep  ‘first come, first serve’,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi perbincangan program MITRA di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, inisiatif kedua yang dilaksanakan adalah melibatkan subsidi pendidikan awal tadika swasta Tamil yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membantu mengurangkan isu keciciran dalam pendidikan awal, masalah literasi serta numerasi dalam kalangan kanak-kanak.

Jelasnya, subsidi sebanyak RM200 sebulan untuk setiap kanak-kanak itu meliputi yuran tadika dan sarapan pagi selama 12 bulan membabitkan seramai 4,500 penerima dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM10.8 juta.

“Permohonan ini telah pun dibuka kepada tadika swasta yang menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengajaran utama pada 17 April lalu sehingga 16 Mei, namun kita telah lanjutkan tempoh permohonan sehingga pukul 5 petang, 28 Mei ini bagi memastikan semua pengusaha yang memenuhi kriteria tidak ketinggalan untuk memohon.

“Subsidi pendidikan ini akan dibayar terus kepada para pengusaha tadika,” katanya.

Ramanan turut mengumumkan mengenai inisiatif bantuan dialisis untuk golongan B40 yang mensasarkan seramai 900 pesakit buah pinggang kronik dengan menampung subsidi sebanyak RM200 bagi satu sesi dialisis untuk bayaran empat kali sebulan selama setahun.

Katanya, sebanyak RM8.64 juta telah diperuntukkan bagi program tersebut bertujuan meringankan beban mereka yang tidak mampu untuk menanggung kos rawatan dialisis selain kesinambungan rawatan serta menjamin kualiti kesejahteraan kesihatan.

“Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pusat-pusat dialisis sedia ada dan permohonan mula dibuka pada Isnin ini sehingga 30 Ogos depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya