Misteri kehilangan lebih 20 ekor lembu terjawab - Utusan Malaysia

Misteri kehilangan lebih 20 ekor lembu terjawab

MOHD. Hazwan Ramli melihat lembu ternakannya di kandangnya di ladang kelapa sawit Perlop 3, Lasah dekat Sungai Siput. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Misteri kehilangan lebih 20 ekor lembu milik seorang penternak di Ladang Perlop 3, Lasah di sini sejak bulan lalu terjawab dengan penemuan bangkai haiwan ternakan itu dipercayai dibaham harimau belang.

Penternak, Mohd. Hazwan Ramli, 35, berkata, dia menyedari kejadian tersebut selepas menemukan tapak kaki haiwan buas itu berhampiran bangkai anak lembu sekitar pukul 8.30 pagi, semalam.

Katanya, seekor lembu betina juga nyaris menjadi mangsa haiwan liar tersebut berdasarkan kesan kecederaan pada kaki ternakan itu.

“Sejak bulan puasa lagi banyak lembu yang hilang, lebih 20 ekor termasuk semalam. Sebelum ini, saya hanya jumpa tulang sahaja tetapi semalam bangkai anak lembu separuh badan.

“Memang sejak awal lagi saya syak harimau sebab nampak kesan tapak kaki haiwan liar itu cuma baru semalam saya benar-benar yakin kehilangan semua ternakan saya angkara ‘pak belang’,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hazwan, selain terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000, dia juga diselubungi perasaan bimbang diserang haiwan itu ketika menguruskan ternakannya di kandang berkenaan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini dia tidak pernah terserempak mahupun mendengar bunyi ngauman haiwan itu.

“Saya yakin harimau tersebut masih berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit ini, malah sejak kejadian itu pun, banyak lembu tidak berada di kandang sebaliknya ‘lari’ ke kampung Orang Asli berhampiran.

“Saya pernah juga buat rondaan sekitar kawasan kandang pada sebelah malam menaiki kenderaan pacuan empat roda, tapi tidak pernah pula terserempak,” katanya yang mempunyai lebih 100 haiwan ternakan termasuk lembu, kambing dan kerbau.

Tambahnya, laporan telah pun dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak dan berharap tindakan segera diambil pihak berkenaan.

“Saya harap harimau itu akan ditangkap segera kerana kami berasa terancam selagi harimau tersebut masih lagi berkeliaran,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan menerima dua aduan haiwan ternakan dibaham harimau belang di kawasan Bukit Berekeh di sini.

Katanya, kejadian tersebut berlaku selepas haiwan liar dianggarkan berusia antara lapan dan sembilan tahun itu dikesan berkeliaran di lokasi berkenaan minggu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN