PUTRAJAYA: Operasi mencari menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, akan diteruskan hari ini.
Perkara itu disahkan seorang pendaki ME2023, Tiong Ling Yang ketika dihubungi malam tadi dan beliau memaklumkan misi mencari semalam gagal menemui apa-apa petunjuk.
Beliau berkata, misi mencari akan diteruskan melalui jalan darat hari ini dibantu malim gunung.
“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan pihak malim gunung semalam untuk meneruskan SAR melalui jalan darat hari ini.
“Saya bersama pengurus pasukan ME 2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30, dan Ketua Misi, Azim Afif Ishak, 35, masih dalam keadaan terkejut dan sedih di atas dua berita sedih menimpa rakan kami itu.
“Kami berhadapan dua situasi tidak diduga itu iaitu kehilangan Muhammad Hawari dan kematian Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56,” katanya.
Katanya, beliau diarahkan turun ke Everest Base Camp (EBC) bagi menguruskan usaha mencari Muhammad Hawari, manakala Azim pula akan mengendalikan proses membawa turun jenazah Awang Askandar.
Ling Yang berkata, jenazah kini berada di kem empat dan perlu dibawa sehingga ke kem dua supaya jenazah dapat diterbangkan dengan helikopter ke hospital bagi proses bedah siasat.
Menurutnya, jenazah Awang Askandar masih berada di kem empat dan belum dapat dibawa turun atas beberapa faktor termasuk cuaca.
Sementara itu, Ayu Wanirah berkata, misi mencari dan menyelamat Muhammad Hawari semalam dilakukan melalui udara yang turut disertai Azim, namun kelibatnya masih belum dapat dikesan.
Mengulas lanjut dua berita duka menimpa kem pendaki ME2023, Ayu berkata, ketika kejadian, dia bersama Azim dan Ling Yang berada di kem dua dan berita sedih itu dimaklumkan oleh malim gunung menerusi walkie-talkie.
“Kali terakhir Muhammad Hawari dapat dihubungi ialah selepas dia berjaya menawan puncak pada Khamis lalu sekitar 3.30 petang waktu Nepal (5.45 petang waktu Malaysia).
“Menyedari kehilangan Hawari, satu operasi SAR)digerakkan pada hari sama disertai lapan malim gunung sehingga 11 malam.
“Mereka melakukan pemeriksaan di setiap khemah bermula dari kem empat hingga dua bagi memastikan sama ada beliau ada singgah menumpang berteduh dan berehat namun gagal dikesan,” katanya.
Sumber memaklumkan, Muhammad Hawari keluar dari khemah di kem empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut tanpa pengetahuan malim gununng. – UTUSAN