Menjentik lagu pop cinta bebal - Utusan Malaysia

Menjentik lagu pop cinta bebal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMY SYLADO menggelarnya lagu pop cinta bebal. Regina Ibrahim kata, lagu tangisan tepi kubur.

Sudah berzaman kita dihidang dengan lagu-lagu mendayu yang mengagungkan rintihan dan kesedihan. Temanya cinta, topiknya patah hati, peristiwanya ditinggal kekasih.

Pastilah tidak salah untuk menikmati lagu yang meruntun sebegini. Kita manusia yang beremosi dan sudah fitrah emosi selalu mahu dibuai, baik dengan rasa sedih, gembira atau teruja.

Seperti kata Remy 46 tahun lalu dalam artikel Musik Pop Indonesia: Satu Kebebalan Sang Mengapa, menulis lirik cinta tidak salah tetapi biarlah tajam penghayatan batinnya. Dan dalam artikel sama, penulis Indonesia itu juga menekankan kepentingan aspek etika dan estetika dalam penghasilan lagu.

Ini yang membezakan sebuah lagu cinta bebal dengan tidak bebal; yang mengasingkan pop murahan dari pop kesenian.

Barang dagang

Seni selalu tampil sebagai musuh kebendaan. Dan sejarah mengajar kita, seni akan selalu kalah pada kebendaan.

Apabila seni disalut wang, keseniannya terhakis dan lama-lama hilang. Itu yang merosakkan seni lagu pop apabila ia dibaham tujuan mengumpul wang.

Masih ada lagu pop yang kaya seni dan kaya wang tetapi jika kita mengambil pandangan makro, kegilaan terhadap untung kewangan sering melahap kesenian muzik.

Orang seni akan selalu berpencak dalam arena tarung antara karya dengan wang. Orang seni jati jarang makan royalti tanpa makan hati.

Jadi, kalau seni anda jati, jangan biarkan karya jadi barang dagang semata-mata. Mata dagang dalam sistem kapitalisme hanya memandang khalayak massa.

Jika karya jadi barang dagang semata-mata, tidak dapat tidak, anda perlu sujud pada permintaan massa yang tidak tentu. Turun naik karya anda digantung tunggal pada kemahuan massa yang terhuyung-hayang; massa itu layang-layang yang talinya dipegang korporat gergasi.

Dalam dunia sekarang, fikiran orang ramai dikawal algoritma. Kita jadi biri-biri, gembalanya algoritma syarikat teknologi gergasi.

Lirik formulaik

Sebab itu muzik pop yang tunduk pada kemahuan massa mudah ditebak formulanya. Saya ketepikan dahulu soal teknikal muzik seperti pergerakan kord dan skala lazim yang diguna pakai. Kita bercerita tentang lirik dahulu.

Remy dalam artikelnya hanya menggunakan satu perkataan untuk mengkritik lirik lagu pop Indonesia circa 70-an – “mengapa”.

Dalam contoh-contoh yang diambil, penulis lirik begitu mudah melemparkan kata soal “mengapa” sekadar untuk menimbulkan pertanyaan cetek yang tidak pula diteroka jawapannya.

Mengambil pedoman kritikan itu, kita juga boleh berjumpa banyak lirik yang sifatnya formulaik dalam lagu pop Melayu. Ini bermakna, lirik-lirik ini seakan ada pencontoh (template) yang perlu dipatuhi penulisnya, baik dari segi tema, emosi yang ingin disentuh sehingga frasa-frasa yang ingin diguna pakai.

Cuba periksa, berapa banyak lirik yang guna frasa “hatiku hancur”, “kita tidak lagi bersama”, “doaku mengiringi” dan “terbaik untuk kita”.

Seperti ada undang-undang tatabahasa yang sempit dalam penulisan lirik. Kata nama doa hanya boleh diikuti kata kerja mengiring. Kata sifat untuk hati hanya hancur.

Pastilah ada variasinya, mungkin beberapa perkataan diubah untuk tampilkan kelainan tetapi asasnya masih sama.

Bercakap tentang variasi, saya perlu membangkitkan pula idea Theodor Adorno yang dipetik Syarif Maulana dalam artikel 2023: Musik Pop Mendayu Masih Laku.

Keunikan palsu

Adorno meletakkan pseudoindividualisme sebagai antara ciri muzik pop. Makna perkataan panjang itu, kita dihidangkan dengan ilusi bahawa kita ada kebebasan untuk memilih dua produk yang ditampilkan berbeza, sedangkan ia benda yang sama.

Contoh klasiknya, antara Pepsi dengan Coca Cola. Contoh yang lebih terkini, antara rokok dengan vape. Bentuknya berbeza, pembungkusannya berbeza tapi di sebalik semua itu, ia produk yang sama dengan keburukan yang sama.

Begitu juga dengan variasi lagu pop yang ada. Mungkin temanya nampak unik, berbanding cinta kekasih lagu ini bawa tema cinta anak kepada bapa. Tapi ceteknya masih sama. ‘Bebalnya’ masih sama. Ia tetap barang dagang yang formulaik.

Semua ini membawa kita kembali kepada aspek etika dan estetika yang disyarahkan Remy.

Poptimistik

Ini bukanlah artikel untuk merendah-rendahkan selera muzik sesiapa. Ini renungan terhadap kualiti muzik dan ia khusus ditujukan kepada muzik pop.

Muzik pop sebenarnya berjasa besar kerana telah menyedarkan kita tentang kerosakan apabila muzik ditolak jatuh ke jerlus pasir perniagaan. Apa sahaja bentuk muzik boleh ditarik ke dasar yang sama, baik rock, indie atau apa sahaja.

Sebab itu penting untuk kita cari keseimbangan dan membangunkan khalayak pendengar muzik. Pendengar yang kaya penghargaan muzik akan mengubah haluan industri dan mengangkat karya-karya yang baik tanpa menghiraukan kehendak korporat.

Situasinya sekarang, kelaziman (familiarity) mengungguli permintaan muzik. Sebab itu pengkarya pop yang mengejar nombor selesa mengulang-ulang formula sama dalam karya mereka. Yang lazim lebih mudah menarik telinga pendengar.

Dunia yang kita tinggal hari ini sangat ideal buat korporat kerana kita semua semakin sibuk. Kesibukan menyempitkan ruang untuk berfikir, sebab itu kita suka pada hal yang lazim. Kita tak sempat nak cari alternatif.

Kita diajar untuk menurut formula sejak kecil. Untuk peperiksaan, ada formula menjawab soalan. Nak berniaga, ada formulanya sendiri. Nak jadi pempengaruh pun ada formulanya juga.

Formula adalah jalan singkat untuk kita berjaya dengan melangkau satu perkara mustahak, iaitu berfikir. Tanpa berfikir, tergolonglah kita dalam bangsa yang saya gelar bangsa templat.

Bangsa templat yang menjadi khalayak pendengar muzik akan mengagungkan lagu-lagu pop cinta bebal. Kebebalan akan menang, pandir-pandir akan lahir dan anak seni jati tak sempat pun nak makan royalti, apatah lagi mahu makan hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya