KUALA LUMPUR: Penyanyi meningkat naik, Meer Nash, 27, mengakui kemunculan ibunya, menerusi video muzik lagu Permata menjadi antara perkara yang diimpikannya sejak sekian lama.
Kata pemilik nama sebenar Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul itu, penampilan wanita berusia 53 tahun itu dalam video muzik berkenaan adalah tanda penghargaan daripada penyanyi berkenaan.
“Saya nak balas jasa ibu yang membesarkan kami adik beradik sendirian. Impian saya untuk melihat dia muncul dalam video muzik saya akhirnya tercapai.
“Ibu dan ayah saya berpisah ketika saya masih kanak-kanak lagi. Ibulah yang membesarkan saya dan adik beradik lain. Dia, selain menjadi emak, turut menggalas tanggungjawab bapa,” katanya.
Meer Nash berkata demikian ketika ditemui sempena majlis pemberitahuan kerjasama antara Secret Recipe dengan Universal Music di ibu kota, baru-baru ini.
Disoal tentang ayahnya, peserta rancangan Big Stage 2023 yang dilahirkan di Pulau Pinang itu memaklumkan dia dan lelaki tersebut masih berhubung.
“Bagaimanapun kami tidaklah rapat. Hubungan kami ibarat ada, tak ada,” katanya lagi.