MCM sasar laksana ibadah korban di 15 negara, babit nilai RM2 juta - Utusan Malaysia

MCM sasar laksana ibadah korban di 15 negara, babit nilai RM2 juta

MOHD. Shukri Ramli (empat dari kiri) bersama Zulkifli Wahijan (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan pek makanan sewaktu Majlis Kasih Asnaf, Sumbangan Kerusi Roda dan Jamuan Rakyat di Kediaman Menteri Besar, Sungai Padang, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Muslim Care Malaysia (MCM) sasar melaksanakan ibadah korban di 15 buah negara bersempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini menerusi pelaksanaan Program Korban Care.

Antara negara yang dipilih bagi pelaksanaan ibadah tersebut adalah seperti Palestin, Syria dan Afrika dengan nilai korban bernilai RM2 juta.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya memilih negara-negara yang bergolak dan dibelenggu isu kebuluran, kemiskinan serta peperangan bagi melaksanakan program tersebut.

“Tidak lupa juga, kita akan turut melaksanakan program ini di Malaysia dan berikutan itu kami memerlukan sokongan serta penyertaan daripada seluruh rakyat bersama badan korporat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kasih Asnaf, Sumbangan Kerusi Roda dan Jamuan Rakyat di Kediaman Menteri Besar di Sungai Padang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Ghazali Chik.

Dalam pada itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Zulkifli berkata, MCM memilih Perlis bagi menyerahkan bantuan 40 kerusi roda untuk diagihkan ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

“Selain itu, kami turut menyerahkan sumbangan pek makanan kepada 300 asnaf di seluruh negeri ini meliputi beras, gula, minyak masak dan pelbagai lagi.

“Nilai keseluruhan bantuan meliputi pemberian kerusi roda, pek makanan dan jamuan buat asnaf secara keseluruhan adalah berjumlah RM70,000,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri merakamkan penghargaan di atas keprihatinan MCM yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf memerlukan di Perlis.

Katanya, MCM sememangnya banyak membantu golongan asnaf dan pemberian bantuan itu adalah bertepatan pada masanya.

“Moga pemberian sumbangan dan bantuan ini dapat memberi keberkatan buat semua penerima terlibat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya