MB Perlis hadir sendiri buat laporan polis, gambar disalah guna - Utusan Malaysia

MB Perlis hadir sendiri buat laporan polis, gambar disalah guna

MOHD. Shukri Ramli (kiri) menunjukkan poster pelaburan yang menyalahgunakan gambarnya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli membuat laporan polis hari ini selepas gambarnya disalah guna di dalam poster oleh pihak tidak bertanggungjawab membabitkan pelaburan patuh syariah.

Mohd. Shukri hadir sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini sekitar pukul 5 petang dan selesai membuat laporan berkenaan kira-kira satu jam kemudian.

Menurut Mohd. Shukri, poster berkenaan yang ditularkan menerusi laman sosial Facebook itu dilihat cuba mengelirukan orang ramai dan seolah-olah menggambarkan beliau terlibat dengan skim pelaburan tersebut.

“Berikutan itu, saya telah hadir bagi membuat laporan polis kerana gambar saya telah disalah guna oleh pihak terlibat bagi meraih wang dengan cara mudah,” katanya.

Berdasarkan paparan poster yang ditularkan tersebut, pelabur yang memasukkan wang deposit sebanyak RM300 didakwa akan dapat menjana keuntungan sebanyak RM10,999 hanya dalam tempoh tiga jam.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, selain beliau, terdapat juga gambar beberapa pemimpin lain turut disunting di dalam poster pelaburan seperti itu antaranya membabitkan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

“Poster itu dimuat naik pada 14 April lalu dan sebelum ini saya juga pernah membuat penafian mengenainya.

“Bagaimapun, selepas beberapa ketika, pihak terlibat didapati masih belum memuat turun iklan poster berkenaan dan berikutan itu saya tampil untuk membuat laporan polis,” katanya.

POSTER yang dimuat naik memaparkan gambar Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan turut mengelirukan ramai pihak.-UTUSAN

Tambah Mohd. Shukri, beliau juga berharap tiada mana-mana pihak tertipu dengan iklan poster berkenaan.

“Setakat ini tiada lagi mangsa yang menghubungi dan mengatakan mereka tertipu namun saya menasihatkan agar orang ramai dapat menyemak terlebih dahulu sekiranya menerima poster tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, siasatan kes berkenaan akan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita akan jalankan siasatan sama ada wujud unsur fitnah dan sebagainya membabitkan penularan poster tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya