Mayat wanita ditemukan dengan kesan tikaman - Utusan Malaysia

Mayat wanita ditemukan dengan kesan tikaman

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kes penemuan mayat seorang wanita di dalam rumah di Kampung Tersusun, Jalan Tali Air, Simpang Lima di Bagan Serai semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan kesan tikaman di bahagian leher di rumahnya di Kampung Tersusun, Simpang Lima di sini petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, polis Daerah Kerian menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira -kira pukul 6.45 petang.

“Bertindak atas maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Daerah (IPD) Kerian ke lokasi dan menemukan mayat seorang wanita berusia 61 tahun dalam keadaan terbaring di dalam bilik tidurnya.

“Terdapat kesan darah pada bantal, tilam dan dinding termasuk kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesan lebam juga terdapat pada lengan mangsa,  dipercayai berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek dalam usaha mempertahankan diri.

“Siasatan lanjut mendapati suspek telah memecah masuk rumah mangsa berdasarkan kesan umpil pada tingkap dan tiga keping cermin yang ditanggalkan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah mangsa mendapati tiada barang-barang berharga milik mangsa yang hilang,” katanya.

Menurutnya, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman pada bahagian leher.

“Pihak polis masih mengenal pasti motif kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan IPD Kerian di talian 05-7212222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya