KANGAR : Pihak jawatankuasa masjid hendaklah sentiasa memastikan setiap penceramah, pengkuliah dan tenaga-tenaga pengajar di masjid adalah pemegang tauliah di negeri Perlis.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hal demikian bagi memastikan kualiti dan mutu pengisian di masjid dan surau di negeri ini kekal berada pada standardnya yang tersendiri.
“Selain itu, ia bagi menjauhkan daripada anasir-anasir luar yang meragukan dan cuba untuk menyemai bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat di sini,” titah baginda pada majlis perasmian Masjid Al-Amin, Sempering di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Muhammad Azmir Azizan.
Titah baginda, fungsi masjid perlu diperkasa khususnya daripada aspek pengimarahan agar mampu membangunkan ummah.
Baginda bertitah, masjid memainkan peranan yang sangat penting sebagai entiti penyatuan umat.
“Jawatankuasa kariah dan para pegawai masjid yang terdiri daripada imam, bilal, siak dan penjaga kawasan mestilah komited dengan tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan.
“Mereka juga perlu bersikap mesra dengan anak kariah dan berusaha menyelesaikan masalah yang dibangkitkan dan bersikap pendamai,” titah baginda.
Titah Tuanku Syed Faizuddin lagi, masjid merupakan pusat perkembangan ilmu dan pemikiran.
Oleh itu, baginda bertitah, jawatankuasa kariah dan agensi agama perlu memastikan majlis ilmu diatur mencakupi bidang-bidang penting dalam agama dan juga pengetahuan am.
“Masjid juga hendaklah bertindak sebagai lokasi sehenti yang mesra musafir, pengembara, orang kurang upaya, ibu tunggal, kanak-kanak, orang tua dan lain-lain golongan memerlukan.
“Selain itu (masjid) juga menjadi tempat berteduh apabila bencana alam seperti ribut dan banjir,” titah baginda.
Baginda bertitah, semua pihak hendaklah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh agensi agama negeri bagi memastikan keseragaman dan penyelarasan yang teratur, terutama berhubung pengimarahan masjid dan surau.-UTUSAN