“SAYA tak gila.” Luahan itu pernah pelakon, Fathia Lati lontarkan ketika menjadi wajah sampul muka hadapan Pancaindera lima tahun lalu.
Ketika itu namanya hangat diperkatakan kononnya dia antara artis bermasalah. Namun sehingga sekarang, dia masih mendapat persepsi sama dan sukar memadam dakwaan yang pernah menjadi punca ‘kejatuhan’ nama baiknya beberapa tahun ini.
Dia seolah-olah sepi dari radar industri seni. Benarkah dia masih mempunyai masalah disiplin seperti yang didakwa? Adakah dia sudah tidak sanggup lagi berdepan kecaman dan kritikan? Benarkah dia melakukan pembedahan plastik demi kekal relevan dalam industri ini? Fathia, Jawablah!
Baru-baru ini kecoh kononnya Fathia dikatakan melakukan pembedahan plastik pada wajah. Malah, ada yang meluahkan rasa kecewa dengan dakwaan tersebut. Komen sikit?
Sudah berbuih mulut saya jelaskan, itu hanya filters di Tiktok. Lagipun seiring usia, pastilah ada perubahan. Hendak buat macam mana? Saya sebenarnya sudah tidak larat hendak jelaskan. Kadang-kadang, lagi banyak kita menjawab, lebih banyak kecaman dan dakwaan bertebaran. Saya sendiri tidak faham, mengapa ada sahaja salah selebriti di mata segelintir warganet.
Bila timbul spekulasi dan dakwaan tersebut, ramai juga tiba-tiba meluahkan rasa rindu untuk melihat Fathia kembali aktif berlakon. Adakah Fathia memang tidak mahu aktif seperti dahulu lagi? Sibuk berniaga?
Saya tahu, ramai peminat memuat naik gambar saya ketika era drama Ariana Rose. Saya sendiri bila tengok gambar itu, rindu. Dulu ada juga ura-ura menerbitkan sekuel drama tersebut, tetapi diam sahaja. Takkan saya pula kena telefon penerbit merayu untuk terbitkan drama tersebut. Ada juga saya dengar kononnya Fathia Latiff sudah tidak lagi berlakon. Demand dan berlagak diva. Peliklah macam mana orang sanggup sebar fitnah begitu. Ini bukan kali pertama nama Fathia terpalit dengan kontroversi seperti itu.
Sebelum ini, ada dakwaan kononnya Fathia seorang artis bermasalah dan tidak berdisiplin. Sehingga sekarang masih ada yang percaya dengan dakwaan tersebut. Fathia sedar situasi itu?
Ya, saya tahu. Saya sendiri hairan bagaimana cerita tidak benar itu boleh bertebaran selama hampir sedekad. Mungkin pemikiran segelintir pemain industri masih dangkal dan percaya bulat-bulat fitnah yang tersebar. Saya pun hairan, mengapa mereka tidak bertanya terus dengan saya. Mengapa percaya dengan cerita pihak ketiga yang mungkin mahu menjatuhkan lagi nama baik saya. Boleh saja hubungi saya terus.
Bagaimana pula dengan tawaran berlakon sekarang? Adakah dakwaan tersebut memberi impak negatif dan pandangan tidak baik terhadap Fathia?
Semestinya. Saya tidak dapat sebarang tawaran drama atau filem. Kosong. Dulu masa saya sibuk membangunkan jenama perniagaan, banyak pula tawaran datang. Tetapi saya tidak boleh beri komitmen. Tetapi bila saya sudah stabil dan bersedia untuk aktif, tawaran tidak kunjung tiba. Saya tahu, nama saya masih relevan dan orang tahu bakat yang ada, cuma tak tahu mengapa masih ada pihak yang cuba menutup rezeki saya.
Adakah kehadiran pendatang baharu juga memberi kesan? Orang lebih senang bekerja dengan pelakon baharu berbanding Fathia yang sebelum ini dikatakan bermasalah?
Tidak dinafikan, memang itu juga memberi impak. Tetapi itu adalah kitaran hidup. Jika ada yang lama, pasti hadir yang baharu. Kita tidak boleh menolak atau menidakkan itu. Saya terima dengan hati terbuka. Saya juga tidak ada masalah untuk bergandingan dengan pendatang baharu. Kita boleh sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman.Cuma berilah saya peluang dan ruang, bukan hanya dengar fitnah- fitnah yang tidak berasas.