KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan kelac C yang dipercayai cuba menyeludup keluar sebanyak 8,000 liter diesel berjumlah RM16,000 ke negara jiran, semalam.
Penahanan bot itu dilakukan sekitar pukul 6 petang pada kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, di sini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, operasi yang dilakukan itu adalah merupakan hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP).
“Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang suspek didapati telah melarikan diri ke atas jeti. Manakala hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut telah diubah suai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Hashim berkata, nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah bot, enjin, dan minyak diesel adalah sekitar RM216,000.
Beliau berkata, semua hasil rampasan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, operasi berkenaan juga adalah hasil kerjasama agensi sahabat iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Perlis.
Tambahnya,pihaknya turut menyeru orang ramai dan persatuan nelayan agar dapat memberi kerjasama bagi menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan diesel di negeri ini.
“Sebarang aduan di perairan Perlis boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya.-UTUSAN