Manjung sedia jadi bandar raya kedua di Perak - Utusan Malaysia

Manjung sedia jadi bandar raya kedua di Perak

Majlis Menandatangani Kontrak Bersama UNDP di Bangunan MPM di Seri Manjung, Lumut semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Manjung berhasrat dan sudah bersedia untuk mencapai status bandar raya, sekali gus menjadi bandar raya kedua di Perak selepas Ipoh.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, pemakluman mengenai hasrat itu sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri pada akhir tahun lalu.

“Kami sudah menulis secara rasmi kepada kerajaan negeri untuk menggunakan ‘tagline’ ‘Menuju Ke Arah Bandaraya Pelancongan dan Maritim’ dan pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menyatakan tiada halangan menggunakan ‘tagline’ itu.

“Tiada sasaran khusus ditetapkan bila status itu mahu dicapai, tapi yakin ia boleh dicapai dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun lagi, dengan bantuan dan sokongan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Bersama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di sini, petang semalam.

Menurutnya, selaras hasrat itu pihaknya kini sedang melakukan usaha-usaha untuk mencapai status itu seperti melakukan penstrukturan daripada aspek pentadbiran seperti menaik taraf unit tertentu kepada jabatan, contohnya mewujudkan Jabatan Teknologi Maklumat selaras hasrat mewujudkan bandar raya pintar dan proses digitalisasi.

Beliau memaklumkan, kawasan liputan juga tiada masalah kerana seluruh daerah Manjung adalah di bawah kawalan MPM, cuma kawasan operasi sahaja tidak meliputi keseluruhan daerah.

Menurutnya, ada kriteria ditetapkan untuk menjadi bandar raya juga sudah berjaya dicapai oleh MPM seperti memperoleh pendapatan melebihi RM1 juta.

Katanya, kriteria daripada aspek bilangan penduduk yang mesti melebihi 500,000 orang, bagaimanapun belum berjaya dicapai kerana jumlah penduduk Manjung adalah sekitar lebih 300,000 orang.

Begitupun, menurutnya, setiap hujung minggu dan musim cuti, Manjung memperolehi kunjungan pelancong yang ramai dan ia mungkin menjadi kriteria istimewa yang boleh dipertimbangkan untuk mencapai status tersebut.

“Setiap hujung minggu dan musim cuti, dianggarkan Manjung memperolehi tambahan antara 300,000 hingga 400,000 pengunjung, sebagai contoh di kawasan pantai peranginan Teluk Batik sahaja mencapai hingga 15,000 pengunjung setiap hujung minggu, ia belum lagi kawasan lain seperti Pulau Pangkor dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau menjelaskan proses untuk mencapai status itu adalah panjang, justeru berharap kerajaan negeri dan semua pihak berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Persekutuan melihat dengan serius bahawa Perak sedang berusaha memperolehi bandar raya kedua.

Menurutnya, Johor dan Selangor antara negeri yang aktif dalam menjadikan beberapa kawasan pentadbiran mencapai status bandar raya manakala Pahang pula mengumumkan sasaran menjadikan Bentong bandar raya kedua selepas Kuantan.

“Mungkin Perak perlu melihat perkara ini secara serius dengan menyatakan sasaran itu kerana taraf bandar raya sebenarnya mengangkat kedudukan kita daripada pelbagai aspek seperti perjawatan dan perkhidmatan berkualiti tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN