PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia kekal mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi terhadap Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) dalam masalah pertikaian di Laut China Selatan.
Perkara itu ditegaskan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China mengenai DOC di Vietnam semalam.
“Malaysia malahan mengalu-alukan komitmen kesemua negara ASEAN dan China ke arah pelaksanaan berterusan DOC serta rundingan kod tatalaku (COC) di laut ini,” jelasnya.
Isu Laut China Selatan merupakan antara kemelut ASEAN dengan China sejak sekian lama kerana tuntutan bertindih oleh beberapa negara rantau itu ke atas perairan berkenaan.
Pertikaian garis sempadan maritim itu turut meliputi Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina dan Vietnam selain Taiwan apabila China menceroboh laut ini yang kaya minyak dan gas.
Ia susulan COC yang sepatutnya selesai pada 2021 namun belum lagi mencapai sasaran meskipun DOC telah dipersetujui sejak 2011 berdasarkan perjanjian ASEAN-China 2002.
China diwakili Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kelautan dan Sempadan, Kementerian Luar China, Hong Liang yang turut dapat bertemu Amran pada sela mesyuarat tersebut.
Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, komitmen Malaysia terus dibuktikan apabila konsisten menyokong pelaksanaan penuh dan berkesan COC secara keseluruhannya.
“Amran pada mesyuarat itu juga menekankan bahawa kestabilan serantau adalah amat penting dan menyeru semua negara bekerjasama mengekalkan keamanan,” katanya.
Langkah tersebut ujarnya, demi memastikan situasi tegang di Laut China Selatan akan terus kekal sebagai perairan yang selamat, aman dan stabil kepada aktiviti perdagangan. – UTUSAN