Malaysia di kedudukan ke-75 Indeks Keganasan Global

Malaysia di kedudukan ke-75 Indeks Keganasan Global

AHMAD Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas mempengerusikan JPTKK, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia berada pada kedudukan ke-75 dalam Indeks Keganasan Global (GTI) tahun lalu iaitu lebih baik berbanding kedudukan ke-68 tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekali gus memberi indikasi yang baik kepada negara khususnya dalam aspek keganasan global.

Beliau berkata, Malaysia bagaimanapun tidak harus selesa dengan pencapaian itu.

“Malaysia pernah merekodkan tahap tangkapan berkaitan keganasan tertinggi pada 2016 iaitu 126 individu disyaki pengganas berjaya ditangkap.

“Jumlah tangkapan menurun kepada 107 orang pada 2017 susulan kawalan dan pencegahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jumlah itu kemudian terus menurun ketika pandemik Covid-19 selain hanya dua tangkapan tahun lalu dan tiada tangkapan setakat ini (2023),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK), di sini hari ini.

Katanya, langkah pencegahan adalah kaedah penting bagi menghindari keganasan selain perlu mengelak daripada perbezaan fahaman politik, ketaksuban agama dan ketebalan rasa perkauman.

Ahmad Zahid berkata, dapatan kajian memperlihatkan, keganasan disebabkan oleh agama berpunca daripada mereka yang tidak memahami soal agama.

Menurutnya, individu ini sebaliknya tiada latar belakang agama dan menggunakan alasan singkat untuk ke syurga.

“Justeru, kerajaan akan melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk merangka satu usaha pencegahan di semua peringkat pendidikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sedang memantau fahaman pelampau keganasan yang menggunakan isu-isu politik termasuk ancaman kononnya Islam terancam.

“MKN sedang memantau perkara ini dan mengambil cadangan-cadangan yang diperoleh untuk mencegah keganasan dan masalah pelampau agama serta perkauman di negara ini,” katanya.

Berhubung dakwaan kononnya media sosial menjadi medium merekrut pelampau, Ahmad Zahid berkata, pemantauan sedang dilakukan oleh MKN dan Cawangan Khas (D8) PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya