MADA beri jaminan El Nino tak jejas penanaman padi

MADA beri jaminan El Nino tak jejas penanaman padi

PARAS takungan air di Empangan Ahning yang kini berada pada tahap 97.47 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan fenomena El-Nino atau cuaca kering yang dijangka berlaku pada bulan ini tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman padi Musim Pertama (1/2023) di Kawasan Muda.

MADA dalam satu kenyataan memberitahu, status keseluruhan takungan empangan di kawasan Muda berada pada tahap baik dan mencukupi bagi menampung keperluan aktiviti tanaman padi bagi musim berkenaan.

Katanya, kapasiti takungan Empangan Pedu adalah 71.89 peratus; Empangan Muda (55 peratus) dan Empangan Ahning (97.47 peratus). 

“MADA sentiasa mengutamakan kepentingan aktiviti tanaman padi dan sentiasa memantau keadaan cuaca semasa serta pelaksanaan kemajuan aktiviti di peringkat sawah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna mengikut fasa yang ditetapkan serta memastikan penanaman padi Musim 1/2023 berjalan lancar.

“Jumlah takungan ketiga-tiga empangan adalah sebanyak 370,327 hektar adalah mampu untuk memenuhi keperluan sumber air pengairan Musim 1/2023. 

“Sehingga hari ini, status kemajuan aktiviti penyediaan tanah bagi musim itu tidak terjejas walaupun jumlah turunan hujan di Kawasan Muda bagi tempoh Januari sehingga awal Mei merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 343 mm berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 439mm,” katanya di sini hari ini.

Katanya, MADA sentiasa peka dengan cuaca semasa dan berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku keadaan El-Nino seperti ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Pada masa sama, MADA turut mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang fenomena El-Nino dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan dan pengoperasian pam bergerak untuk membekalkan air ke kawasan tanah tinggi dan tanah bermasalah,” katanya.

Tambahnya, para petani juga dinasihatkan supaya mempercepat aktiviti dan mematuhi jadual penanaman padi yang dikeluarkan, selain disyorkan untuk menjalankan putaran basah serta aktiviti penanaman mengikut fasa yang ditetapkan.

“Kerjasama peladang menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah adalah penting bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelak pembaziran,” jelasnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini menjangka fenomena El Nino melanda negara ini pada bulan ini hingga Julai dengan kebarangkalian 62 peratus. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya