HAL susah payah melalui jalan berliku dunia muzik sering kita dengar. Kewangan yang sempit, pandangan serong ahli keluarga dan masyarakat serta ekosistem yang mendiskriminasi; ini skrip lazim temu bual bersama ahli muzik.
Tapi bersembang dengan FUAD, getarnya berbeza. Lebih banyak senyum dan gelak, ceritanya penuh warna terang yang positif. Betul, Arief Fuad dan Lisa Fuad memang bertuah. Kurnia bakat satu hal, sokongan ahli keluarga satu lagi hal.
Kembara muzik mereka didukung kuat ahli keluarga dan persekitaran. Tak semua orang dapat merasa nikmat ini. Saya percaya tak semua hal dalam jalan muzik mereka indah-indah. Cuma apabila diminta menilik sejarah awal mereka bermuzik, secara semula jadi memori-memori yang gembira sahaja dipetik.
Saya berani cakap macam itu sebab dalam beberapa pertemuan singkat kami, Arief terutamanya sentiasa memancarkan rasa positif yang asli. Cuma Lisa – mungkin faktor jantina dan umur – selalu ada kekok sosial yang terjelma. Dia sering mengelak kontak mata.
Tapi saya pernah lihat dia di samping keluarga dan rakan-rakan, dia juga seorang gadis yang periang dan positif. Panjang juga hal personaliti dua beradik ini saya tulis. Saja mahu rekodkan perasaan seronok saya bertemu mereka tempoh hari. Hari yang segar dan berwarna-warni.
KELUARGA MUZIK
Saya sentuh sedikit hal keluarga di atas. Kalau saya lanjutkan pula dengan memberitahu, album sulung mereka, Dispositions, diterbitkan ketika Lisa berusia 17 tahun, apa yang anda fikir?
Saya tikam, ramai yang fikir Lisa dan Arief lahir dalam keluarga pemuzik. Saya pernah ada salah faham yang sama. Sebenarnya, keluarga mereka bukan pemuzik, cuma mereka sekeluarga meminati
muzik.
Cerita Lisa dan Arief, mereka mula belajar main gitar hasil pengaruh kakak mereka yang sekarang tak main muzik pun. Ibu dan bapa mereka pula suka dengar muzik.
“Kalau dalam kereta, biasanya mak dan ayah kita tak bagi kita pakai fon kepala atau dengar lagu, dia nak bersembang. Tapi ayah saya, dia yang suruh dengar lagu.
“Dia akan masukkan lagu dalam MP3 saya, bagi saya dengar dalam kereta,” kongsi Lisa.
Arief akui, selera muzik bapanya yang banyak mempengaruhi mereka. Sebab itu, Lisa yang sangat muda boleh berbual tentang ABBA, Bee Gees dan duo kegemarannya, Simon & Garfunkel.
Apa yang dikongsi bapanya menjadi permulaan sebelum mereka meneroka dengan lebih jauh. Laluan penerokaan itu akhirnya membentuk muzik FUAD seperti yang kita dengar sekarang.
SUKA-SUKA
FUAD bermula dengan projek suka-suka; klise untuk sebuah kugiran adik-beradik. Arief ketika itu sedang menggerakkan projek solonya dan salah satu lagu yang dihasilkan ialah Aftermath, kolaborasi sulung dia bersama Lisa.
Kerana sambutannya baik, dia ketuk pintu Lisa dan mengajaknya bikin kugiran bersama. Bermula dengan suka-suka dan sehingga sekarang ia masih boleh dilayan seperti projek suka-suka.
“Sekarang kami dah letak meja kami di rumah sebelah-sebelah. Kalau ada nak buat apa-apa, macam saya nak minta Lisa cuba nyanyi untuk satu lagu, terus cakap saja.
“Dia tak payah bangun pun sebab dah letak mikrofon di tengah-tengah. Dia pusing terus rakam,” kata Arief.
Kini nama mereka semakin mendapat perhatian. Jemputan persembahan makin banyak dan mereka juga sudah sedia mahu lancarkan produk sulung mereka selepas Dispositions. Sebuah lagu berbahasa Melayu yang pernah dipersembahkan ketika mereka menjadi kugiran pembuka dalam pelancaran album 7 Years oleh The Impatient Sisters.
“Kami belum nak terbitkan album kedua tahun ini tapi ada single dan kandungan lain macam saduran.
“Kami suka buat saduran dalam gaya kami sendiri sebab ia membantu kami meneroka bunyi sendiri juga.
“Tak ada masalah nak buat saduran tapi cuba buat dalam gaya sendiri sebab siapa tahu, ia boleh bantu kita dalam penulisan lagu sendiri nanti,” kata Arief.
MERAIKAN TAKDIR
Menyambung hal yang disebut dalam perenggan awal, FUAD bertuah kerana banyak hal dalam perjalanan muzik mereka dipermudah. Namun, ia tak boleh jadi sebab untuk kita pandang rendah mereka.
Mungkin pergelutannya berbeza tapi yang lebih penting, apa yang mereka buat dengan kurnia yang diterima? Segala sokongan yang mereka dapat ialah tunggak yang mengangkat mereka tinggi.
Tapi kalau dah diangkat tinggi pun, tanpa usaha, mereka tidak akan ke mana-mana. Itu yang perlu dilihat pada Arief dan Lisa. Usaha mereka untuk meneroka muzik, memperkaya diri dengan ilmu dan bacaan serta konsisten memajukan diri dalam lapangan. Untuk ini, saya hadiahkan tabik buat mereka.
Ada orang yang suka salahkan takdir atas kegagalan. FUAD meraikan takdir untuk berjaya. Mereka tidak merengek kalau tak dapat perhatian. Semoga mereka kekal begini: personalitinya terus menawan dan karyanya terus maju sampai mapan.
Lagi 10 atau 20 tahun, kita lihat di mana dan bagaimana nama mereka terpahat.