Limpahan air kitar semula plastik cemar Sungai Langat - Utusan Malaysia

Limpahan air kitar semula plastik cemar Sungai Langat

air
KEADAAN kilang kitar semula yang disyaki menyebabkan pencemaran di lembangan Sungai Langat, berdekatan Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, di Hulu Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan Kod Kuning selepas pencemaran dikesan berlaku di lembangan Sungai Langat dipercayai akibat limpahan air proses kitar semula plastik sebuah kilang, semalam.

Perkara itu dikesan dan kod diaktif berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air selepas menerima maklumat orang awam mengenai insiden tersebut melibatkan beberapa premis di sekitar Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, permasalahan kualiti air itu berpotensi memberi gangguan kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih.

“Pemeriksaan mendapati ada aliran yang berpotensi menjejaskan kualiti Sungai Kabul yang berada 200 meter dari lokasi berkenaan.

“Selain efluen mengalir keluar dari sebuah premis, terdapat air berbau di kawasan itu dan tiada sistem pengumpulan air sisa yang disyaki dilepaskan ke kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Loy Sian, LUAS mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis itu bagi menghentikan pelepasan efluen secara serta merta.

“Kawasan itu juga perlu segera dipulihkan kerana berisiko tinggi menghasilkan air sisa yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran. Selain itu, LRA Semenyih yang berada kira-kira 17 kilometer berisiko dihenti tugas jika berlaku pelepasan air yang banyak dalam tempoh masa lama,” ujarnya.

Tambah beliau, kertas siasatan insiden itu dibuka mengikut Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN