Lima bulan minum air masin, bawa sampel air ke sidang DUN

Lima bulan minum air masin, ADUN Elopura bawa sampel air ke sidang DUN

CALVIN Chong menunjukkan sampel air masin yang dibawa dari Sandakan pada persidangan DUN hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai tahap kemasinan air yang disalurkan dari Empangan Segaliud, Sandakan, Calvin Chong (Warisan-Elopura) membawa sampel air masin semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Calvin turut meminum sampel air yang dibawa bagi membuktikan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya bahawa tahap kemasinan air yang kini dinikmati rakyat di Sandakan masih lagi tinggi.

“Saya bawa empat botol air masin dari Sandakan sebab menteri beritahu tahap kemasinannya jatuh dari 700 bahagian per juta kepada 300. Saya tidak percaya tahap kemasinan boleh jatuh dalam tempoh dua hari.

“Saya khuatir apabila minum air yang masin bagi tempoh hampir tujuh bulan, siapa akan bertanggungjawab sekiranya apa pengguna menghadapi masalah kesihatan seperti alahan pada kulit mahupun sakit buah pinggang,” katanya semasa sesi penggulungan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya.

Menjawab pertanyaan itu, Shahelmey berkata, beliau tidak pasti bagaimana ujian tahap kemasinan dilakukan oleh ADUN Elopura.

Namun, berdasarkan laporan ujian harian tahap kemasinan air dari Empangan Segaliud yang diperoleh daripada ujian makmal bertauliah, tahap kemasinannya menunjukkan penurunan.

“Berdasarkan ujian pagi tadi, air yang dihantar dan diuji tahap kemasinannya adalah 278.9 bahagian per juta berbanding 289 semalam.

“Saya berasa positif bahawa tahap kemasinan air ini akan semakin menurun maka, kita harap keadaan cuaca berpihak kepada kita dan kita berdoa supaya hujan turun bagi membolehkan pengepaman diteruskan dari Sungai Segaliud ke empangan,” katanya.

Menurut beliau, kandungan bahan yang digunakan sekarang adalah selamat namun, ia mempengaruhi rasa air tapi, apa yang penting air terawat terus dibekalkan kepada pengguna di Sandakan.

Jika dilihat sekitar kawasan Sungai Segaliud dikelilingi ladang kelapa sawit yang menggunakan baja dan racun perosak yang mempunyai tahap bahan kimia yang tinggi.

Justeru, keutamaan sekarang adalah memastikan air yang dibekalkan kepada pengguna adalah selamat daripada bahan-bahan kimia dan tidak masin. Maka, beliau berharap tahap kemasinan air itu akan dapat dikurangkan dalam tempoh terdekat.

Masalah air masin di Sandakan dilaporkan berlaku akibat kerosakan pada pintu pagar Sungai Segaliud pada Disember tahun lalu sehingga menyebabkan air laut mengalir masuk sehingga ke kawasan empangan. –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya