ALOR SETAR: Hampir keseluruhan 15,656 bilik hotel di Langkawi habis ditempah sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) bermula 23 hingga 27 Mei depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, tempahan bilik itu melibatkan hotel bajet sehingga ke empat bintang di pulau berkenaan yang ditempah pengunjung terutama dalam kalangan agensi kerajaan dan syarikat yang menyertai pameran itu.
“Keseluruhan 15,656 bilik habis ditempah daripada hotel bajet sehingga empat bintang dari 22 hingga 28 Mei ini. Sememangnya ramai yang membuat persiapan awal untuk menempah bilik-bilik ini sepanjang acara itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah beliau, LTA juga menyasarkan keuntungan sebanyak RM415 juta bagi penggiat pelancongan di pulau itu pada acara antarabangsa yang dijangka terbesar dalam sejarahnya.
“Sambutan sangat menggalakkan dan LTA menyasarkan keuntungan yang diperoleh sepanjang acara tersebut adalah RM415 juta,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah beliau, selain itu LTA turut menyediakan tiga tapak perkhemahan untuk pelancong yang gagal mendapat bilik bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menyaksikan acara berkenaan.
“Kita akan sediakan lebih 2,000 khemah di tiga tapak iaitu Tanjung Rhu, Lubuk Semilang dan Jalan Gunung Raya sebagai alternatif kepada pelancong dengan harga serendah RM80.
“Ini adalah usaha LTA untuk membantu pelancong kerana walaupun bilik sudah habis ditempah namun mereka mempunyai pilihan untuk menyaksikan acara itu,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berharap pihak pengusaha feri dapat mengatasi isu tiket pengangkutan laut itu sepanjang tempoh LIMA ’23 berlangsung.
“Saya berharap pihak pengusaha feri memperbanyakkan jadual perjalanan dan tidak menunggu permintaan bagi memudahkan pelancong membuat perancangan,” katanya.
Sementara itu hasil pencarian ke beberapa aplikasi pelancongan mendapati kebanyakan bilik hotel di pulau tersebut habis ditempah bermula 21 hingga 27 Mei ini terutama melibatkan hotel di bawah lima bintang. – UTUSAN