Lesen memandu 10 tahun: JPJ ada kaedah kesan pesalah 

Lesen memandu 10 tahun: JPJ ada kaedah kesan pesalah 

ANTHONY Loke Siew Fook menunjukkan lesen memandunya yang diperbaharui melalui inisiatif pembaharuan lesen untuk tempoh 10 tahun di JPJ Seremban, hari ini.- UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun dengan kadar bayaran istimewa bukanlah ‘peluang’ pemilik lesen terlepas daripada tindakan jika melakukan kesalahan jalan raya.

Sebaliknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kaedah dan sistem yang mampu mengesan pesalah termasuk tindakan drastik seperti penggantungan lesen atau menarik lesen bagi kesalahan tertentu.

“Walaupun ada pihak mendakwa dengan cara ini orang tidak bayar saman dan sebagainya, kami ada cara lain iaitu cara digital.

“Tidak bermaksud lesen tidak perlu diperbaharui 10 tahun, akan terlepas daripada sistem kami. Kami ada cara tersendiri menangani isu-isu penguatkuasaan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke JPJ Seremban, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim. Dalam lawatan itu, Anthon turut mengambil peluang memperbaharui lesen memandunya pada hari pertama pelaksanaan inisiatif tersebut hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kerajaan memulakan dasar baharu membenarkan pemegang lesen memandu Malaysia untuk semua kategori mendapat diskaun 10 peratus sekiranya memperbaharui tempoh 10 tahun di mana tahun ke-10 diberikan percuma kepada orang ramai.

“Cuma bayar RM270 berbanding RM300. Itu merupakan dasar baharu yang kami perkenalkan untuk memudahkan orang ramai. Saya banyak mendapat maklum balas dan permintaan daripada orang ramai tempoh untuk memperbaharui lesen memandu dipanjangkan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga tidak melepaskan peluang memperbaharui lesen mereka sehingga tempoh 10 tahun.

Salah seorang yang ditemui, Goh Huey Chung, 41, berkata, inisiatif itu amat memudahkan orang ramai terutamanya suri rumah sepertinya yang kini tidak perlu lagi memperbaharui lesen terlalu kerap.

“Biasanya saya buat lima tahun, kali ini saya tidak sangka pula inisiatif ini sudah boleh dibuat hari ini dan terus mengambil peluang memperbaharui hingga tempoh 10 tahun,” katanya.

Mohamad Zakri Nazeri, 19, pula berkata, dia juga tidak melepaskan peluang memperbaharui lesen sehingga 10 tahun dan inisiatif itu akan dapat mengelakkan dia terlupa untuk memperbaharui lesen setiap tahun.

“Kadang-kadang kita tidak memberi fokus dengan perkara seperti ini dan sering terlupa. Bagaimanapun, dengan pengenalan inisiatif ini, ia membantu banyak pihak untuk menjimatkan masa dari memperbaharui lesen setiap tahun,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya