Lelaki rugi RM30,000 ditipu sindiket pelaburan - Utusan Malaysia

Lelaki rugi RM30,000 ditipu sindiket pelaburan

ABDUL RAHIM MD. DIN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Gara-gara terpedaya dengan iklan pelaburan di media sosial, seorang lelaki kerugian hampir RM30,000 selepas ditipu sindiket terbabit sejak bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, kejadian dipercayai berlaku 22 April lalu apabila mangsa ternampak iklan pelaburan di Facebook.

Beliau berkata, lelaki berusia 53 tahun itu tertarik dengan iklan tersebut lalu menghubungi nombor tertera dan berurusan dengan seorang wanita disyaki ahli sindiket.

“Mangsa yang juga seorang pekerja swasta kemudian diminta membuat bayaran deposit RM2,246 serta RM4,000 lagi bagi tujuan membuka dan mengaktifkan akaun pada hari sama.

“Pada 28 April, mangsa membuat bayaran seterusnya berjumlah RM6,331 kepada sindiket pelaburan tidak wujud itu kononnya sebagai caj cukai kastam,” jelas beliau ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah Abdul Rahim, mangsa selepas itu diminta membayar beberapa lagi caj tambahan seperti lantikan peguam dan proses kelulusan sehingga mengalami kerugian keseluruhan RM26,877.

Menyedari dirinya ditipu sindiket pelaburan berkenaan, mangsa kemudian membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, semalam

Abdul Rahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan iklan pelaburan terutama di atas talian supaya tidak menjadi mangsa penipuan pelaburan yang tidak wujud,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya