PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki memukul teman wanitanya membongkar kepada penemuan 15 pistol dan senapang angin di kediamannya di Kampung Cheras Baru, di sini, semalam.
Kesemua senjata itu dipercayai dibeli melalui platform beli belah e-dagang sebagai hobi untuk memburu tupai dan burung.
Dalam kejadian pukul 1.50 pagi kelmarin, wanita berusia 42 tahun itu pada mulanya ke rumah suspek berusia 45 tahun untuk meminta penjelasan berhubung gambar lelaki tersebut dengan wanita lain tersebar dalam laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika sedang berbincang, lelaki itu terus mengambil topi keledar sebelum memukul mangsa di muka dan kepala.
Menurutnya, mangsa kemudian menangis dan pergi ke tokong sebelah rumah untuk mengelak dipukul lagi.
“Tidak lama selepas itu, suspek bertindak membaling kerusi kayu ke arah mangsa dan mengambil kayu dari kerusi yang patah mencekik lehernya sehingga wanita itu sesak nafas.
“Mangsa yang ketakutan kemudian beredar dan tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Farouk berkata, susulan laporan polis diterima, pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ampang Jaya menahan suspek di hadapan rumahnya pukul 8.10 malam tadi.
“Suspek berkerja sebagai peniaga di hadapan rumahnya dan kita turut merampas tiga kayu digunakan memukul mangsa.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah merampas 15 pucuk pistol pelbagai jenis, selaras senapang angin berserta teropong, selaras senapang menyerupai senjata panah, dua kelopak, sebilah pisau, lima bilah parang, lima tong gas, lima tong gas kecil (isian dalam pistol), sekotak hitam berisi anak panah, empat bekas tin berisi bearing besi dan lain-lain,”jelasnya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah dan ujian saringan air kencing negatif dadah.
“Punca kejadian adalah disebabkan marah akibat dituduh mangsa yang suspek mempunyai wanita lain di mana gambar suspek tersebar melalui Facebook.
“Suspek mengaku memiliki dan menyimpan semua senjata yang dirampas untuk koleksi dan hobinya mengumpul senjata-senjata,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan- Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya. – UTUSAN