Lebih sekadar pertandingan robotik

Lebih sekadar pertandingan robotik

POLITEKNIK Sultan Idris Shah, Sabak Bernam dinobatkan selaku juara keseluruhan pertandingan 16th FIRA Malaysia Cup 2023 di Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang kelmarin. – MINGGUAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Kejohanan Federation Of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia Cup yang memasuki edisi ke-16 penganjurannya tahun ini disifatkan lebih daripada sekadar pertandingan robotik antara politeknik dan kolej komuniti di negara ini.

Program seumpama itu juga adalah salah satu inisiatif yang diambil oleh JPPKK dalan usaha menarik minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pengerusi 16th FIRA Malaysia Cup 2023, Mohd. Noor Shahudin berkata, kejohanan tahunan itu ketika ini boleh berfungsi sebagai platform terbaik untuk ‘memindahkan’ teknologi kepada generasi muda dewasa ini.

Beliau yang juga Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) berkata, ketika ini, majoriti golongan itu berpegang kepada konsep hanya percaya apabila melihat atau seeing is believing.

“Justeru, dalam hal ini, JPPKK sedang cuba meyakinkan mereka kembali (kepentingan teknologi berasaskan robotik) dan akan melakukan segala yang termampu untuk generasi baharu ini,” katanya pada Majlis Penutup 16th FIRA Malaysia Cup 2023 yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini kelmarin.

Berlangsung selama lima hari bermula 8 Mei lalu, kejohanan itu berjaya menarik penyertaan seramai 320 pelajar bersama 133 pensyarah pengiring daripada 21 buah politeknik serta dua buah kolej komuniti di seluruh negara.

Dibahagikan kepada lapan kategori iaitu Simurosot, Air Drone, Androsot, Robosot, MyBot, Hurocup, Aibot serta Business & Innovation sebagai kategori baharu, 16th FIRA Malaysia Cup 2023 secara keseluruhannya menawarkan 69 pingat termasuk 23 pingat emas daripada kesemua 23 sub kategori yang dipertandingkan.

Mohd. Noor Shahudin

Mengulas lanjut, Mohd. Noor berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti kategori yang berpotensi untuk menyumbang pingat buat negara pada pertandingan sama di peringkat antarabangsa yang dijangka berlangsung di Jerman antara 17 hingga 21 Julai ini.

“Di peringkat dunia nanti, kita berdepan dengan pasukan yang hebat seperti Korea (Selatan), Jerman, Rusia, UK (United Kingdom), Kanada dan lain-lain.

“Jadi, inilah (sebahagian daripada) persiapan kita menjelang penganjuran FIRA Malaysia Cup kelak,” kata beliau.

PESERTA memeriksa robot ciptaan mereka sebelum bermula acara kategori Hurocup Marathon 16th FIRA Malaysia Cup di Politeknik Seberang Jaya.

Dalam pada itu, Pengarah PSP merangkap pengelola kejohanan, Harith Fadzilah Abd. Khalid berpuas hati dengan penganjuran FIRA Malaysia Cup 2023 dan berterima kasih atas komitmen penuh semua pihak yang berkenaan dalam menjayakannya.

Beliau berharap penganjuran kali menjadi medan untuk melahirkan saintis serta jurutera yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Bertanding dalam pertandingan seperti ini mengasah fikiran pelajar lebih kreatif dan pantas dalam menyelesaikan masalah.

“Selain mengukuhkan semangat juang dan kerja berpasukan, ia juga dilihat mampu mengeratkan hubungan silaturrahim sesama peserta,” ujarnya.

Ini kali kedua PSP dipilih sebagai tuan rumah untuk kejohanan FIRA Malaysia Cup selepas pertama kali menganjurkannya pada 2012. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya