JOHOR BAHRU: Lebih 10 batang batu nisan hilang di Tanah Perkuburan Islam, Taman Istimewa Pandan, di sini dipercayai dicuri.
Kehilangan batu nisan itu disedari oleh penggali kubur sejak akhir tahun lalu tetapi jumlahnya hanya sedikit, namun, sejak awal tahun ini semakin kerap berlaku.
Seorang penggali kubur, Ramlan Mohammad, 55, berkata, kehilangan batu nisan ini mula disedari oleh seorang waris yang datang menziarahi pusara ahli keluarganya pada akhir tahun lalu.
“Waris tersebut memberitahu saya nisan bapanya di bahagian kaki hilang. Jadi, apabila saya tengok memang benar batu nisan itu hilang, yang tinggal hanya nisan di bahagian kepala,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pencuri tersebut hanya mengambil batu nisan di bahagian kaki berbanding kepala dan melibatkan kubur lelaki sahaja.
“Setakat ini, hanya sebuah kubur kedua-dua batu nisan hilang yang membabitkan kubur lelaki,” katanya sambil memberitahu kecurian itu kemungkinan berlaku pada waktu malam kerana tiada siapa yang menjaga kawasan perkuburan tersebut.
Dia yang sudah 10 tahun menjadi penggali kubur mengakui kejadian kecurian itu merupakan kali pertama berlaku sejak akhir tahun lalu.
“Apa motif individu tersebut mencuri nisan itu saya pun tak tahu, sebab kebanyakan yang dicuri jenis nisan batu sungai dan batu putih. Batu nisan yang saya sudah siapkan untuk tempahan pun hilang di bengkel saya,” dakwanya sambil memberitahu harga nisan daripada batu sungai boleh mencecah sehingga RM450 dan nisan batu putih berharga RM350.
Setakat ini belum ada waris yang membuat laporan polis tentang kehilangan batu nisan tersebut. –UTUSAN