TAIPING: Pelantikan ketua kampung di Perak akan diselesaikan dalam masa yang terdekat secara berfasa agar semua yang dilantik memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohammad berkata, setakat ini ketua kampung bagi 158 Kampung Baharu Cina dan 17 Kampung Baharu India telah dilantik.
Menurutnya, manakala baki 829 buah Kampung Tradisi Melayu sedang dalam proses mengikut fasa dan berperingkat.
“Kita tidak menghadapi sebarang masalah dalam pelantikan untuk jawatan ketua kampung namun bagi memastikan ketua kampung yang dilantik menepati kriteria yang ditetapkan, maka ia mungkin sedikit lewat.
“Lagipun lantikan kali ini juga dikenakan tapisan yang ketat supaya tiada calon yang mempunyai masalah karakter serta yang mempunyai rekod jenayah dilantik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping di sini hari ini.
Menurut Saarani, lantikan ketua kampung dalam fasa pertama melibatkan kampung-kampung yang berada dalam 33 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan manakala fasa kedua melibatkan kampung di 26 DUN yang diketuai oleh Pembangkang.
Katanya, disebabkan ketua kampung yang dilantik itu mesti daripada parti kerajaan, sudah tentu pemilihan dibuat dengan betul dan menepati ciri -ciri yang dikehendaki serta lulus tapisan karektor iaitu tidak memiliki sebarang rekod jenayah.
“Disebabkan perkara itu, kita lakukannya secara berperingkat dan berfasa. Setiap ketua kampung yang dilantik mesti menjalankan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya dengan dedikasi dan telus serta mengambil berat perihal penduduk di dalam kawasan jagaannya.
“Lantikan ketua kampung juga menekankan kriteria calon mestilah menetap di dalam kampung tersebut dan bukannya di tempat lain supaya calon yang dilantìk dapat memainkan peranannya secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN