IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM700, enam tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Elfie Faizal Che Min, 35, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Pokok Assam, Taiping didakwa meminta suapan wang tunai RM300 daripada seorang individu.
Suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas lelaki terbabit yang menjalankan perniagaan barang lusuh dengan lesen yang telah tamat tempoh.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam Pejabat Siyian Trading di Lorong Perusahaan Pengkalan 1, Taman Perindustrian Pengkalan di Taiping pada pukul 3.40 petang, 17 Mei 2017.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua apabila didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang tunai RM300 daripada individu serupa di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan bagi kesalahan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki yang telah berkhidmat selama 15 tahun dengan pasukan polis itu didakwa menerima suapan wang tunai RM400 daripada lelaki sama melalui seorang lelaki lain untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan barang lusuh.
Kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 itu dilakukan di Pejabat Siyian Trading pada pukul 5.30 petang, 4 April 2017.
Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai masing-masing berjumlah RM300 dan RM400 daripada individu sama bagi tujuan serupa pada 17 Mei dan 4 April 2017 di Pejabat Siyian Trading di Taiping.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan namun peguam tertuduh, Shahidah Muslimah Roslan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM3,000.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 9 Jun depan untuk tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN